Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri sedang merangka pelan tindakan pembangunan membabitkan sektor pelancongan secara menyeluruh yang dijangka akan dilancarkan tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelan tersebut melibatkan pelbagai produk pelancongan berpotensi di negeri ini.
Katanya, pelan jangka masa panjang itu akan diteruskan walaupun dalam situasi berlaku pertukaran kerajaan.
“Pelan tindakan 10 tahun ini merupakan hala tuju bagi industri pelancongan di Johor.
“Kali terakhir kita ada pelan seperti ini adalah 10 tahun lalu. Pelan tindakan ini merupakan perancangan jangka panjang yang akan turut dibantu kerajaan pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Farmtrip Majestic Johor Bersama Media di Pusat Maklumat Pelancongan Johor (Jotic) di sini, hari ini.
Tambah Onn Hafiz, sebagai contoh, terdapat 93 pulau di Mersing tetapi hanya Pulau Rawa, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Sibu dan Pulau Pemanggil yang dibangunkan sebagai produk pelancongan.
“Terdapat banyak pulau lain di daerah itu yang mempunyai potensi untuk dibangunkan kerana keindahan pantainya sama seperti pulau di Thailand yang menjadi tarikan pelancong seluruh dunia.
“Bayangkan Pulau Tioman yang popular hanya bersebelahan dengan Mersing. Mereka yang nak pergi ke Tioman melalui Mersing walaupun hanya satu pulau sahaja, sedangkan di Mersing ada 93 pulau,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada usaha menarik kehadiran pelancong domestik berbanding pelancong antarabangsa ekoran pandemik Covid-19.
“Promosi melibatkan produk pelancongan di negeri ini sedang giat dilaksanakan dalam usaha menarik pelancong tempatan datang ke Johor,” tambahnya. – K! ONLINE