KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melupuskan sebanyak 2,323 buah komputer dan 260 buah telefon bimbit melibatkan kes perjudian di Balai Polis Alam Damai, Cheras, di sini hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua barang kes tersebut melibatkan 275 kertas siasatan yang telah selesai sejak tahun 2014 hingga 2019 bagi daerah Cheras, Brickfields dan Wangsa Maju.
“Pelupusan barang kes perjudian ini dilakukan menggunakan kaedah E-waste, sejajar dengan prosedur Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mana sekaligus menjadi satu usaha menyahut pelaksanaan inisiatif Amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi Hijau melalui ‘Go Green PDRM’.
“Pelupusan barang kes ini juga diharapkan dapat menyelesaikan masalah kesesakan di stor barang kes di daerah-daerah di dalam kontinjen Kuala Lumpur,” katanya pada sidang akhbar majlis pelupusan barang kes perjudian tersebut.
Mazlan berkata, Polis Kuala Lumpur amat komited dalam membanteras kegiatan perjudian haram di bandaraya ini dan pelbagai operasi akan terus dijalankan secara konsisten bagi memastikan kegiatan itu dapat dibanteras secara habis-habisan.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk memberikan kerjasama dalam membanteras kegiatan perjudian haram dengan menyalurkan maklumat ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, 017-316 9779 (WhatsApp atau telefon) atau di mana-mana balai polis berdekatan. – K! ONLINE