MUNICH – Ketua jurulatih Jerman, Joachim Low memilih penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer berbanding Robert Lewandowski (Lewy) sebagai pemain terbaik dunia jika Anugerah Ballon d’Or diadakan tahun ini.
Kedua-dua pemain itu menjadi perdebatan hebat seluruh peminat bola sepak kerana masing-masing berjaya membantu Bayern menjuarai gelaran trebel musim ini selepas menjuarai Bundesliga, Piala DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara.
Neuer, 34, berjaya memastikan gawang Bayern tidak bolos lebih daripada 50 gol, manakala Lewandowski, 33, pula sudah berjaya menghasilkan 55 jaringan dalam semua kejohanan buat jaguh Jerman itu sepanjang saingan musim lepas.
“Neuer dalam kelas tersendiri kerana dia seorang yang sangat mengagumkan. Dia adalah faktor utama Bayern memenangi Liga Juara-Juara.
“Namun, tanpa Neuer, Bayern tidak akan menang kerana banyak kali dia menyelamatkan gawang mereka daripada dibolosi sewaktu aksi separuh akhir dan final kejohanan itu.
“Bagi saya, Neuer adalah pemain terbaik dunia untuk tahun ini, bukannya Lewandowski,” kata Low.
Penganjur Ballon d’Or iaitu majalah sukan Perancis, France Football telah mengesahkan pembatalan anugerah itu pada Julai lalu disebabkan penularan wabak pandemik Covid-19.
Begitupun, Neuer dijangka memenangi gelaran Penjaga Gol Terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan berpeluang bersaing dengan Lewandowski merebut anugerah Pemain Terbaik Tahunan FIFA 2020. – AGENSI