GELOMBANG panas terik yang berlaku di pekan kecil di Lembah Kematian (Death Valley) yang terletak di bahagian timur California, Amerika Syarikat telah menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat paling panas di dunia.
Pada 16 Ogos lalu, kawasan berkenaan yang juga dikenali dengan nama Furnace Creek hanya mempunyai populasi penduduk seramai 24 orang telah mencatatkan suhu setinggi 54.4 darjah Celsius.
Sekiranya disahkan oleh Organisasi Mateorologi Dunia (WMO), suhu tersebut akan menjadi yang paling panas dicatat sejak tahun 1931.
Furnace Creek juga pernah menyimpan rekod suhu paling panas di dunia, pada tahun 1913 dengan catatan suhu pada waktu itu adalah 56.7 darjah Celcius.
Pakar meteorologi daripada Universiti Arizona State, Randall Cerveny menjelaskan, proses pengesahan untuk rekod global seperti cuaca ekstrem, yang diarkibkan di WMO, mungkin memakan waktu selama berbulan-bulan.
“Menyusun rekod melibatkan sebuah jawatankuasa antarabangsa saintis atmosfera yang memerlukan penelitian semula.
“Tetapi berdasarkan bukti yang ada, kami menerima pemerhatian awal yang dibuat di kawasan tersebut,” kata Cerveny.