fbpx

K2

Kudrat wanita kendali lori kontena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZLINDA tidak kekok memandu lori kontena.

KELIBAT lori berwarna merah yang membawa muatan barang seberat kira-kira 40 tan dilihat meluncur laju membelah laluan jalan raya. Biarpun hanya memandang dari jauh, namun sudah cukup membuatkan penulis berasa kecut perut.

Tatkala lori diberhentikan di bahu jalan, seorang wanita bertubuh kecil molek turun dari kepala lori sambil tersenyum manis.

Melihatkan raut wajah ayunya, mulut penulis terlopong seketika. Sukar untuk diungkapkan perasaan pada waktu itu. Antara kagum dan tidak percaya, semuanya bercampur baur.

Mana tidaknya, kebiasaannya wanita-wanita cantik seperti Nurazlinda Maha, 33, sering dilihat bekerja di pusat kecantikan atau pejabat-pejabat berpendingin hawa. Jarang sekali mereka bekerja di bawah terik mentari apatah lagi membawa lori atau treler muatan besar.

AZLINDA

Bagaimanapun, peluang menyaksikan sendiri wanita berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu mengendalikan lori membuktikan wanita hari ini serba-boleh dan mampu menceburi bidang yang dimonopoli kaum lelaki.

“Ramai yang tidak percaya saya memandu lori.

“Saya teringat satu peristiwa seorang pak cik mengejar lori kontena yang dipandu saya semata-mata untuk berswafoto. Katanya, lelaki itu teruja kerana pertama kali melihat wanita memandu lori,” katanya yang mesra disapa Azlinda.

Bercerita lanjut bagaimana dia menceburi bidang itu, Azlinda berkata, selain begitu meminati lori sejak kecil, pengaruh daripada bekas suami yang juga seorang pemandu lori menyebabkan dia nekad untuk mengambil lesen memandu lori.

“Saya mula memandu lori pada tahun 2017. Pada waktu itu, saya suarakan hasrat kepada ayah untuk mengambil lesen memandu lori muatan besar.

“Pada mulanya ayah tidak percaya, tetapi dengan izin Allah, saya lulus dalam ujian dan berjaya memperoleh lesen memandu GDL (Good Driving License) kejur dan bersendi yang membolehkan saya memandu lori panjang,” ceritanya.

Kelangsungan hidup

Menurut Azlinda, proses pengambilan lesen memandu lori bukanlah semudah mendapatkan lesen kenderaan biasa kerana bukan sahaja lebih sukar dan perlu melalui beberapa siri ceramah serta ujian, tetapi tempoh pembelajarannya juga agak panjang.

“Pertama sekali individu itu perlu mempunyai lesen kereta. Kemudian, mereka perlu mengikuti ceramah sebelum mengambil lesen memandu GDL. Selepas itu mereka perlu menjalani ujian membawa lori kejur seberat tiga tan. Apabila lulus, mereka akan diuji sekali lagi dengan lori bersendi pula sebelum lesen dikeluarkan. Secara keseluruhan, pada waktu itu, proses mendapatkan lesen mengambil masa kurang daripada tiga bulan dengan kos keseluruhan kurang daripada RM3,000,” tambahnya yang berkhidmat sebagai pemandu lori di sebuah syarikat penjualan barangan.

Bagi Hidayu Sabaran, 39, pula dia memulakan kerjaya sebagai pemandu lori sejak tahun 2013. Pada waktu itu, dia terpaksa menggantikan bapanya yang demam untuk menghantar bahan binaan konkrit menggunakan lori pembancuh simen di sebuah tapak pembinaan di Johor Bahru.

Biarpun takut, namun dia berjaya melawan perasaan itu dan menyempurnakan tugasan menghantar konkrit dengan baik.

“Sukar untuk gambarkan perasaan ketika pertama kali memandu lori. Niat saya hanya untuk membantu bapa.

“Teruja tetapi takut. Hanya individu yang pernah mengalaminya tahu betapa situasi itu begitu memerlukan jiwa yang kental,” jelasnya.

HIDAYU mempunyai prestasi yang memberangsangkan dalam pemanduan lori.

Bermula dengan perasaan gentar, siapa sangka wanita ini kini mampu membawa kenderaan berat dan kontena dengan muatan berbeza termasuk muatan cecair.

Lebih membanggakan, pada tahun 2018, Hidayu pernah menyertai pertandingan liga pemandu treler yang dikenali sebagai Volvo Fuelwatch Challenge dan mendapat tempat kedua daripada 1,550 pemandu lori yang menyertainya.

“Memandu lori memang letih dan menggunakan banyak tenaga. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan perjalanan jarak jauh. Paling jauh yang saya pernah pandu ialah perjalanan selama lapan jam ke sempadan Malaysia-Thailand iaitu di Padang Besar, Perlis bagi menghantar barang.

Menurutnya, adakala dia ditugaskan membuat penghantaran dari Pelabuhan Klang ke Selatan, Utara dan Pantai Timur tanah air.

Ditanya cabaran bekerja sebagai pemandu lori wanita, Hidayu pantas menjawab setiap pemandu lori, tidak kira lelaki atau wanita akan berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Di jalan raya mungkin cabarannya adalah untuk memandu dengan kenderaan kecil, manakala di tapak lokasi penghantaran pula mungkin untuk melakukan kerja-kerja mengangkut barang itu sendiri,” katanya.

ROKIAH

Seorang lagi pemandu treler, Rokiah Salim, 53, pula memilih untuk bekerja sebagai seorang pemandu lori demi kelangsungan hidup selepas syarikat lamanya menawarkan Skim Pemisah Sukarela (VSS) sekitar tahun 2013.

“Saya seorang ibu tunggal kepada dua orang anak. Sebaik hilang kerja, saya hanya terfikirkan anak dan apa yang boleh dilakukan untuk menyara mereka.

“Rakan-rakan menyarankan saya menjadi pemandu lori memandangkan gaji diperoleh lebih besar daripada kerjaya terdahulu sebagai operator. Dari situ, bermulalah kerjaya saya sebagai seorang pemandu lori,” ceritanya.

Berkat rezeki yang diperolehi hasil daripada memandu lori, wanita ini berjaya menyara dua anaknya sehingga ke menara gading.

“Bagi saya, sekarang ini kita tidak boleh terlalu memilih kerjaya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan hari ini yang memang terlalu sukar mendapat kerja,” ujar wanita berjiwa kental ini.

Pada tahun 2016, Rokiah terpilih sebagai salah seorang daripada 100 ikon negara pilihan Perdana Menteri Malaysia waktu itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setahun kemudian pula, wanita hebat ini dianugerahkan Ibu Gemilang Kluster Keselamatan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sekali gus membuka mata wanita lain berhubung kerjaya pemandu lori dan menarik mereka menceburinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI