KUALA LUMPUR – Peneraju farmasi kesihatan dan kecantikan, Guardian Health and Beauty (Guardian) menawarkan hadiah menarik sehingga RM50,000 untuk dimenangi menerusi Health Beauty Award 2020 (HBA2020).
Pengurus Pemasaran Guardian, David Wong berkata, HBA2020 memberi peluang kepada lebih 3 juta pelanggan untuk mengundi jenama kegemaran mereka sekali gus berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.
Menurutnya, undian bagi peraduan HBA2020 bermula hari ini dan berakhir pada 30 September nanti.
“Pencarian jenama-jenama terbaik oleh pelanggan Guardian ini bertujuan memberi kuasa kepada mereka untuk memilih produk kecantikan dan kesihatan terbaik di dalam industri yang ditawarkan di semua stor Guardian.
“Menerusi HBA2020, hubungan baik Guardian dengan pelanggan juga dapat dijalinkan dengan mengambil kira serta memahami keperluan gaya hidup, pilihan dan tingkah laku pengguna yang sentiasa berubah,” katanya pada sidang akhbar pelancaran HBA2020 di sini hari ini.
Jelas David, undian yang diambil secara keseluruhan itu akan memberi gambaran adil terhadap jenama paling disukai dan menawan sekali gus memberi impak tersendiri kepada pelanggan serta industri.
“Bagi tahun ini, enam kategori dipertandingkan antaranya Jenama Baharu Terbaik; Undian Tertinggi Pilihan Influencer; Kosmetik; Penjagaan Kulit; Penjagaan Diri dan Penjagaan Kesihatan.
“Memenuhi dan mengikuti gaya hidup digital majoriti pelanggan masa kini, proses undian akan dikendalikan sepenuhnya secara dalam talian,” ujarnya yang memberitahu HBA2020 dahulunya dikenali sebagai Most Voted Brand Award.
David menambah, HBA2020 tahun ini turut menetapkan bahawa tiada pembelian diperlukan untuk menyertai peraduan dan pelanggan boleh menghantar sebanyak mana penyertaan yang mereka mahukan.
Maklumat lanjut mengenai terma dan syarat penuh peraduan serta undian, layari hba2020.guardian.com.my. – K! ONLINE