fbpx

Dzil Afnan tumpang populariti In-Team

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAZAMIN IN-Team tengah) bersama Dzil Afnan.

JIKA disebut nama Dzil Afnan, barangkali ramai yang tidak mengenali kumpulan nasyid empat sekawan berasal dari utara tanah air itu.

Hakikatnya, sudah 15 tahun mereka berkecimpung dalam industri nasyid tempatan.

Sayangnya, selama tempoh tersebut mereka tidak berkesempatan menembusi pasaran komersial.

Hikmah tahun 2020, Dzil Afnan yang dianggotai Mohd Amin Ismail, Mohd Taufiq Abdullah, Mohd. Ridzuan Azuzan dan Wan Amiruddin Wan Ismail itu akhirnya berpeluang merekod lagu baharu dengan salah seorang ahli In-Team, Hazamin Harun.

Diberi tajuk Bahagia Sejati, lagu berkenaan merupakan hasil ciptaan Hazamin bersama Wan Saleh, manakala lirik pula ditulis oleh Ito Lara.

Mewakili anggota yang lain, Mohd Ridzuan yang bertindak sebagai ketua kumpulan Dzil Afnan meluahkan rasa berterima kasih kepada Hazamin kerana sudi menerima jemputan untuk berkolaborasi dengan mereka.

“Kami sedar tanpa bantuan mereka yang sudah mempunyai pengalaman dalam industri nasyid komersial, sukar untuk menguar-uarkan tentang kehadiran kami di sini.

“Semoga kolaborasi dengan Hazamin boleh membantu peminat lebih mengenali siapa Dzil Afnan, seterusnya menyokong kerjaya nasyid kami,” katanya usai temu bual bersama media di Santai Kafe, Taman Tun Dr. Ismail. baru-baru ini.

KUMPULAN nasyid dari Kedah, Dzil Afnan mahu menembusi pasaran muzik nasyid arus perdana dengan single pertama yang menyaksikan kolaborasi bersama Hazamin daripada kumpulan In-Team.

 

Tumpang

Dalam pada itu, Hazamin pula bersetuju untuk berduet dengan Dzil Afnan kerana yakin kumpulan itu memiliki banyak potensi untuk memajukan karier dalam dunia nasyid.

Tidak kisah seandai berkongsi sedikit populariti dengan kumpulan tersebut, Hazamin berharap kehadirannya dalam lagu Bahagia Sejati mampu memberi impak terhadap Dzil Afnan.

Hazamin turut menyifatkan kerjasama bersama Dzil Afnan sebagai tanggungjawab dan amanah bagi membantu kumpulan nasyid yang ingin meningkatkan kualiti penerbitan lagu serta tidak malu untuk belajar.

“Mereka sudah berada dalam industri sejak 2005. Jadi, sayang jika bakat mereka tersekat di Kedah sahaja.

“Saya juga tidaklah begitu popular tetapi insya-Allah ada juga peminat yang mengenali diri ini. Saya berharap itu akan menjadi salah satu faktor peminat membuka mata kepada kumpulan Dzil Afnan,” ujarnya lagi.

Dzil Afnan turut melancarkan pertandingan Bahagia Sejati Cover Challenge iaitu nyanyian semula single berkenaan dalam media sosial.

Mereka menawarkan hadiah utama wang tunai RM300 dan penginapan inap desa di Cameron Highland.

Sejak dilancarkan pada 7 Ogos lalu menerusi laman YouTube Inteam Digital, lagu Bahagia Sejati kini sudah meraih lebih 40,000 tontonan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI