TANAH MERAH – Dua lelaki berdepan hukuman mati mandatori apabila ditahan polis selepas dipercayai menjadi dalang kegiatan pengedaran dadah di daerah ini dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Madu Jaya, Kelewek di sini Ahad lalu.
Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada 7 malam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superitendan Zainuddin Md. Yusuf berkata, dalam serbuan itu, kedua-dua lelaki berusia 25 dan 27 tahun itu ditahan bersama pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM87,605.
Katanya, hasil pemeriksaan di dalam rumah itu membawa kepada penemuan 5,250 biji pil Erimin 5, 350 gram syabu, tujuh biji pil ekstasi, 16 bungkus air ketum dan sembilan botol cecair kodein.
“Selain dadah, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM1,355 dan sebuah kereta Honda Civic.
“Ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Zainuddin, semakan mendapati kedua-dua suspek yang berusia 25 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan ketum.
Katanya, mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 7 September untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – K! ONLINE