Oleh YATIMIN ABDULLAH
PASIR MAS – Dua laras senjata api jenis Rifle yang sudah berkarat ditemui di dalam karung guni bersama 459 biji peluru di sebuah tapak projek tebatan banjir di Kampung Topeng Repek di sini petang semalam.
Senjata api dan peluru itu ditemui pada pukul 2.40 petang oleh seorang pemandu jengkaut yang berusia 23 tahun sedang melakukan kerja-kerja mengorek dan menambun di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, sepasukan anggota dari Jabatan Sisatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas telah dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan lima minit kemudian.
Menurutnya, apabila tiba di lokasi, pemandu jengkaut telah menunjukkan dua laras senjata api bersama peluru yang ditemui di dalam karung guni yang tertimbus.
“Senjata api dan peluru tersebut dibawa ke IPD untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Siasatan awal dapati senjata api tersebut di percayai jenis Rifle,” katanya.
Mohamad Roy Suhaimi berkata, penemuan senjata itu kemudian telah dimaklumkan kepada pihak Persenjataan Polis untuk siasatan dan analisa lanjut. – K! ONLINE