Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
JOHOR BAHRU – Seorang rakyat Singapura antara dua individu ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan rokok bernilai lebih RM1 juta dalam dua serbuan petang tadi.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang berkata, suspek warga Singapura berusia 49 dan seorang lelaki tempatan, 31 tahun itu ditahan di Taman Sutera dan Taman Universiti di sini pada pukul 2 petang.
“Suspek warga Singapura ditahan ketika sedang memunggah rokok berkenaan ke dalam kereta Proton Exora.
“Manakala suspek rakyat tempatan yang membawa kenderaan itu bertindak melarikan diri sebelum dikesan di sebuah rumah di Taman Universiti yang dijadikan pusat pengumpulan rokok seludup tersebut,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah beliau, suspek tersebut bagaimanapun mengalami kecederaan dan patah kaki kiri dalam cubaan melarikan diri apabila terjatuh dari bumbung rumah.
“Pemeriksaan di rumah berkenaan polis menemui pelbagai jenis rokok yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran. Nilai rampasan keseluruhan termasuk dua buah kenderaan dianggarkan sebanyak RM1.7 juta.
“Rampasan ini merupakan rampasan terbesar yang direkodkan PGA bagi tahun ini. Siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak enam bulan lalu dan rokok seludup itu diedarkan bagi pasaran selatan tanah air,” ujarnya.
Dimin turut berkata, kesemua rampasan termasuk rokok, dua buah kenderaan dan wang tunai berjumlah RM15,000 itu diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.- K! ONLINE