KLANG – Perbuatan sebuah syarikat mengimport makanan haiwan tanpa lesen sah dari Korea pada April lalu memakan diri apabila didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Razali Ariffin menjatuhkan hukuman denda tersebut selepas Syarikat Link Ingredients Sdn. Bhd. selaku orang kena saman (OKS) yang diwakili pengarahnya, Foong Kam Peng, 60, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Mahkamah turut memerintahkan kargo makanan haiwan yang dirampas oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) diserahkan semula kepada OKS.
Mengikut pertuduhan, syarikat yang telah beroperasi sejak 2007 itu telah mengimport makanan haiwan atau bahan tambahan makanan haiwan tanpa lesen sah di tapak pemeriksaan kontena CT2, Pelabuhan Klang Utara, pukul 10.45 pagi pada 23 April lalu.
Justeru, syarikat tersebut melanggar peruntukan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Makanan Haiwan 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9 (3) akta sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda RM100,000 atau kedua-duanya.
Peguam Datuk Edward Ng Boon Siong yang mewakili OKS memohon hukuman diringankan sebanyak RM10,000 memandangkan kesalahan pertama OKS yang kesal dan bertanggungjawab atas kesalahan tersebut.
“OKS mempunyai lesen pengimportan yang sah dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi makanan haiwan daripada China namun pekerjanya tanpa sengaja telah mengimport bahan dari Korea akibat pandemik Covid-19.
“Kargo makanan haiwan tersebut juga telah diuji oleh makmal kerajaan dan disahkan selamat untuk dipasarkan,” katanya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Mohammad Firdaus Mat Ludin menegaskan OKS tidak prihatin apabila mengimport bahan makanan haiwan daripada Korea yang belum mendapat kelulusan daripada kerajaan dan harus dikenakan hukuman sebagai peringatan kepada pemain industri lain. – K! ONLINE