fbpx

Buruh ditahan langgar perintah kuarantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan Ambangan Heights, Amanjaya yang dikenakan PKPD Temco susulan penularan Covid-19 bagi Kluster Tawar.

Oleh OTHMAN YAHAYA

SUNGAI PETANI – Seorang buruh kasar merupakan individu ketiga ditahan kerana melanggar perintah kuarantin di rumah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Ambangan Heights, Amanjaya di sini awal pagi tadi.

Penduduk Zon Kenanga berusia 36 tahun itu didapati keluar dari kawasan PKPD Temco pada 31 Ogos lalu dan ditahan ketika cuba masuk semula ke perumahan tersebut kira-kira pukul 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki tersebut ditahan selepas dilihat menunggang motosikal jenis Sym Bonus di hadapan kawasan perumahan Persiaran Amanjaya 5 dalam keadaan mencurigakan.

“Sepasukan anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mendapati penunggang motosikal itu memakai gelang putih yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, lelaki terbabit gagal memberikan alasan munasabah berada di luar rumah dalam kawasan jangkitan dan dia kemudian dibawa ke Balai Polis Komuniti untuk tindakan lanjut.

“Siasatan turut mendapati lelaki itu tiada dirumahnya bagi menjalani perintah kuarantin sejak dua hari lalu,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Peraturan-Peraturan PKPD dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan).

Kosmo! hari ini melaporkan polis menahan dua beradik lelaki yang memakai gelang merah jambu kerana melanggar perintah kuarantin di Ambangan Heights, Amanjaya di sini pada Ahad lalu.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI