fbpx

BTS artis K-pop pertama ungguli carta Billboard Hot 100

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUmpulaN BTS beraksi semasa Anugerah Muzik Billboard 2018 di Las Vegas, Nevada. – AFP

NEW YORK – Sensasi irama pop Korea (K-pop), BTS muncul bintang Korea Selatan pertama mengungguli carta single Amerika Syarikat (AS), kata pemerhati industri muzik, Billboard kelmarin selepas lagu bahasa Inggeris mereka, Dynamite menduduki tempat pertama.

Ia adalah pencapaian terbaharu, sekali gus mengukuhkan dominasi global kumpulan dianggotai tujuh anak muda itu. Pencapaian itu diumumkan beberapa jam selepas BTS mengetepikan barisan bintang popular AS termasuk Lady Gaga, Ariana Grande dan Taylor Swift untuk merangkul anugerah Pop Terbaik pada Anugerah Muzik Video MTV, Ahad lalu.

Single bahasa Inggeris pertama BTS, Dynamite, diterbitkan pada 21 Ogos lalu. Lagu tersebut mencatat 33.9 juta penstriman di AS dalam tempoh cuma seminggu, manakala 300,00 unit single itu telah dijual.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in mengucapkan tahniah kepada BTS dan menyifatkan pencapaian terbaharu mereka ‘sungguh menakjubkan’.

“Ia pencapaian hebat yang meningkatkan lagi kebanggaan untuk K-pop,” katanya dalam satu kenyataan.

Pencapaian BTS kali ini me­nyusul selepas mereka menduduki tangga keempat carta Billboard Hot 100 melalui lagu On.

Tiga album BTS pernah me­ng­ungguli carta album Billboard sebelum ini, namun Dynamite adalah single pertama mereka yang menjuarai carta single Billboard Hot 100.

Carta Billboard Hot 100 menggabungkan penstriman di AS, siaran lagu di radio dan data jualan digital untuk menentukan kedudukan lagu paling popularnya.

Sementara itu, peminat di seluruh dunia begitu gembira mendengar berita tersebut. Seorang peminat BTS menyatakan di Twitter: “Saya sungguh bangga dengan anak-anak muda ini! Mereka akhirnya menuai hasil kerja keras dan ketabahan selama ini!”

BTS adalah kumpulan K-pop pertama dianggotai sepenuhnya oleh anak tempatan yang merajai carta berkenaan. Mereka terdiri daripada J-Hope, Jimin, Jin, Jung­kook, RM, Suga dan V .

Penyanyi rap Korea Selatan, PSY pernah berada di tempat kedua Billboard Hot 100 pada musim luruh 2012 menerusi lagu dansanya, Gangnam Style.

Bagaimanapun, artis Asia pertama mengungguli carta panas itu adalah penyanyi kelahiran Jepun Kyu Sakamoto. Lagunya, Sukiyaki menduduki tangga teratas Billboard Hot 100 selama tiga minggu pada 1963.

Industri K-pop dianggarkan bernilai sekitar AS$5 bilion ( RM20.71 bilion). – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI