fbpx

Azeem buru catatan bawah 10 saat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM memasang impian untuk merakam catatan masa di bawah 10s dalam acara 100m pada masa depan.

SIRI PERTAMA

Usain Bolt Malaysia dijangka capai catatan itu sebelum usia 26 tahun

IMPIAN Malaysia untuk mempunyai pelari pecut dengan catatan masa bawah 10 saat (s) dalam acara 100 meter (m) mampu menjadi kenyataan walaupun secara realistiknya sukar direa­lisasikan.

Bagaimanapun, ia bukan perkara mustahil kerana keba­nyakan atlet di dunia terutama dari benua Asia mengambil masa enam sehingga 10 tahun untuk mencatat masa di bawah 10s.

Bintang muda olahraga negara berusia 16 tahun, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi yang pernah mencetus fenomena sehingga diberi gelaran ‘Usain Bolt’ Malaysia turut memasang impian untuk merakam catatan masa menakjubkan itu.

“Ya, itu impian saya,” kata Azeem yang menetapkan garis masa sendiri untuk merealisasikan perkara tersebut sebelum dia berumur 26 tahun.

Setakat ini, benua Asia cuma ada lapan pelari sahaja berjaya mencatatkan masa di bawah 10s dengan enam daripadanya lahir di Asia, manakala baki dua lagi atlet naturalisasi yang mewakili Qatar.

Enam atlet kelahiran Asia itu ialah dua jaguh pecut China, Su Bingtian dan Xie Zhenye; tiga pelari Jepun, Abdul Hakim Sani Brown, Yoshihide Kiryu dan Yuki Koike serta Barakat al-Harthi dari Oman.

Keenam-enam atlet berkenaan mengambil masa enam sehingga 10 tahun untuk mencatat masa di bawah 10s sejak melakukan penampilan pertama dalam kejohanan diiktiraf Olahraga Dunia.

Menariknya, Azeem bukan sahaja memasang impian acara 100m di bawah 10s, malah turut menyasarkan dirinya layak ke Sukan Olimpik dan memadam rekod 100m serta 200m kebangsaan dalam tempoh empat tahun bermula dari sekarang.

“Impian saya ingin layak ke Sukan Olimpik dan insya-Allah akan memecahkan rekod negara sebelum umur 20 tahun,” kata pelari pecut dari Ipoh, Perak itu.

Azeem tidak boleh tercicir daripada landasan sepatutnya dan pada masa sama perlu menunjukkan peningkatan catatan masa dengan rekod demi rekod peribadi baharu berjaya dicatatkan.

Rekod peribadi Azeem ketika ini untuk 100m ialah 10.57s dan 21.04s bagi acara 200m dan ia adalah catatan ketujuh terpantas dalam sejarah 200m Malaysia.

Jika berjaya memadam rekod 100m milik Khairul Hafiz Jantan iaitu 10.18s dan 200m kepunyaan Russel Alexander Nasir Taib (20.77s), peluang Azeem layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis dilihat cerah.

Seandainya berjaya, Malaysia mampu berbangga kerana akhir­nya mempunyai pelari lelaki layak ke Sukan Olimpik sejak kali terakhir dilakukan bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad dalam acara 200m di Athens, Greece pada 2004.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI