KUALA LUMPUR – Tindakan selebriti terkenal, Zizan Razak meninggalkan komen di laman Instagram beberapa selebriti antarabangsa baru-baru ini mendapat kecaman netizen.
Terbaharu, Zizan meninggalkan komen dalam satu hantaran Instagram milik seorang ahli kumpulan K-pop terkenal Blackpink, Jennie.
“Patutlah abang cari seluar dalam tidak jumpa. Sayang pakai rupanya.
“Tolong basuh nanti, pulang balik sebab abang beli bundle (terpakai). Barang kena selam (cari) baru dapat,” katanya dalam komen tersebut.
Rata-rata netizen tidak bersetuju dengan tindakan pelawak tersebut dan menyifatkan komen-komen yang ditulis oleh Zizan sebagai menjengkelkan.
Terdahulu, Jennie memuat naik sekeping gambarnya memakai seluar jeans yang menampakkan seluar dalamnya dari satu jenama antarabangsa, tiga hari lalu.
Gambar itu mendorong Zizan membuat ulasan di ruangan komen penyanyi antarabangsa tersebut.
Sebelum itu, Zizan turut meninggalkan komen dalam satu video siaran langsung penyanyi antarabangsa, Justin Bieber pada Jumaat lalu.
“Marilah ke Langkawi. Kena (makan) laksa, jadi Tinggg.
“Tin oh Tin (Justin). Janganlah senyap orang ajak makan,” komen penyanyi Berserah itu.
Tindakan Zizan memanggil Justin dengan panggilan ‘Tin’ turut dikecam netizen kerana dianggap tidak lawak dan tidak sopan.
Segelintir netizen berpendapat komen yang ditulis Zizan itu bersifat seperti kebudak-budakan dan tidak kelakar.
Ada juga yang menganggap komen itu sebagai lawak murahan daripada pelakon Polis Evo tersebut.-K! ONLINE