Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
KUALA SELANGOR – Hasrat seorang pemandu e-hailing untuk mandi terbantut selepas menemui seekor ular tedung sepanjang 1.5 meter di dalam mangkuk tandas rumahnya di Jalan Ban 3 Sawah Sempadan, Tanjung Karang di sini kelmarin.
Ular betina seberat satu kilogram itu ditemui pada pukul 8.15 malam apabila lelaki berusia lingkungan 30-an itu pelik melihat objek hitam terjulur keluar daripada mangkuk tersebut.
Pegawai Pasukan Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Selangor, Leftenan Muda (PA) Suzaini Sulaiman berkata, beliau dan tiga anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada pukul 8.25 malam.
“Pemeriksaan lanjut mendapati ular tedung hitam itu masih berada di dalam mangkuk tandas tersebut.
“Operasi menangkap reptilia itu dilakukan secara berwaspada menggunakan peralatan khas bagi mengelak ia bertindak agresif,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Ujar beliau, ular itu kemudiannya berjaya ditangkap pihaknya dalam tempoh 10 minit.
“Reptilia itu kemudian dilepaskan ke kawasan hutan berhampiran,” katanya.
Tambah Suzaini, musim panas antara faktor kehadiran ular di kawasan kediaman dan orang ramai dinasihatkan sentiasa peka bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku. – K! ONLINE