fbpx

Tiga beradik terabai angkara dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga kanak-kanak ditemui dalam operasi AADK di Kota Damansara, Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA – Tiga beradik termasuk seorang perempuan ditemui dalam keadaan kelaparan di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara di sini semalam.

Perkara itu terbongkar selepas sepasukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Petaling menyerbu rumah keluarga mereka dalam satu operasi bagi mengesan penagih dadah di kawasan berkenaan.

Pemeriksaan mendapati, dua kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan berusia empat, lima dan 11 tahun itu berada di dalam sebuah bilik semasa serbuan.

Sebaik melihat kehadiran pihak berkuasa dan petugas media, salah seorang kanak-kanak itu memberitahu dia kelaparan dan meminta makanan.

Semasa serbuan, ibu tiga kanak-kanak malang itu yang berusia lingkungan 30-an berada di dalam rumah tersebut bersama dua lelaki.

Suami wanita itu tiada di rumah dan maklumat mengenai nya masih disiasat.

Siasatan awal mendapati, rumah yang disewa wanita itu dijadikan sarang menghisap dadah bersama teman lelaki dan rakanrakannya.

Keadaan di dalam rumah itu juga kotor dengan ruang dapur berselerakan pinggan mang­kuk yang tidak dibasuh.

Pengarah AADK Selangor, Dr. Nazeera Sadiron berkata, serbuan tersebut dijalankan hasil risikan dan maklumat penduduk di PPR berkenaan.

Katanya, pemeriksaan mendapati, selain ibu kanak-kanak itu, terdapat dua lelaki berada di dalam rumah tersebut.

“Ujian air kencing mendapati ketiga-tiga individu tersebut positif dadah jenis methamphe­tamine.

“Kita juga menemui peralatan menghisap dadah di dalam rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mereka ditahan dan dibawa ke pejabat AADK Petaling di sini untuk pro­ses dokumentasi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah, Rawatan dan Pemulihan 1983.

Mengulas lanjut, Nazeera berkata, tiga anak suspek akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tujuan pelindungan sementara.

“Pemeriksaan mendapati anak sulung wanita itu yang berusia 11 tahun sudah tidak bersekolah,” katanya.

Sementara itu, jiran wanita itu yang enggan dikenali berkata, tiga kanak-kanak tersebut kerap meminta makanan daripada jiran-jiran apabila mereka kelaparan.

“Kami sudah biasa (memberi makanan). Penduduk PPR di sini sama-sama membantu tiga beradik tersebut,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI