KLANG – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila dikejar kenderaan dinaiki empat lelaki kira-kira sejauh 4.2 kilometer dalam kejadian di Jalan Sungai Jati di sini, semalam.
Kejadian berlaku apabila mangsa merupakan jurulatih rekreasi berusia 27 tahun itu telah menunjukkan isyarat jari lucah kepada suspek dalam kejadian pukul 2.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sebelum kejadian keempat-empat suspek berusia 30an itu yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi telah melanggar lampu isyarat di Jalan Sungai Jati tersebut.
Katanya, situasi itu mengakibatkan kenderaan dinaiki pasangan suami isteri yang ingin membelok ke Taman Sentosa hampir dilanggar oleh Myvi tersebut.
“Mangsa kemudiannya bertindak menghentikan kenderaan kerana terkejut dengan suspek telah bertindak membunyikan hon kereta.
“Perkara itu kemudiannya berlanjutan apabila kereta pasangan suami isteri telah diekori sebelum dipotong dan dihalang oleh suspek di Taman Desawan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau memberitahu, unit peronda polis (MPV) yang ketika itu melalui kawasan tersebut kemudiannya membantu dan berjaya menahan kesemua suspek.
Kata Shamsul Amar, pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan dan kerosakan harta benda dialami oleh mangsa.
“Polis turut merampas kenderaan dinaiki suspek dengan reman dua hari dikenakan kepada mereka,”
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” jelasnya. -K! ONLINE