LONDON – Kemasukan pemain pertahanan berpengalaman, Thiago Silva ke Chelsea dijangka mampu membantu pasukan itu dari segi pengalaman serta kepimpinan.
Pemain antarabangsa Brazil itu menyertai The Blues secara percuma selepas kontraknya bersama Paris Saint-Germain (PSG) berakhir sebaik tamat final Liga Juara-Juara.
Pengurus Chelsea, Frank Lampard mengakui kehadiran Silva di Stamford Bridge boleh membantu pasukan itu, lebih-lebih lagi dalam memberi tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda.
“Thiago Silva, seorang pemain yang amat saya kenal. Dia akan beri kelebihan kepada kami dari segi pengalaman dan masih mampu bermain di pentas tertinggi.
“Saya fikir semua orang boleh lihat prestasinya pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara sebelum ini. Dia masih miliki kualiti tersebut dan ia amat penting untuk kami,” kata Lampard.
Beliau juga turut mengimbau kenangan pada aksi persahabatan tujuh tahun lalu di mana England dan Brazil seri 2-2.
“Ia satu perlawanan yang sukar. Thiago Silva dan Neymar menampilkan aksi yang cukup baik,” ujarnya. – AGENSI