fbpx

Sensasi dres strawberi musim pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAKAIAN yang comel ini mudah menarik hati sesiapa sahaja

JIKA anda seorang yang peka dengan perkembangan fesyen, pastinya anda menyedari bahawa ada sejenis pakaian yang kini mencipta sensasi di media-media sosial global kala ini.

Biarpun tahun 2020 mungkin dilihat sebagai tahun yang suram dalam industri fesyen apabila kebanyakan orang diminta berkurung atau sering ‘berselubung’ semasa tampil di luar, populariti suatu dress (dres) atau gaun mungkin tidak begitu dijangkakan.

Namun, dres bak gula-gula kapas dengan corak strawberi ini boleh dikatakan membawa keceriaan di sebalik pandemik yang melanda sehingga pakaian ini turut mendapat perhatian majalah fesyen terkemuka, Vogue.

Pakaian dinamakan Strawberry Dress rekaan Lirika Matoshi itu menakluki Instagram, Twitter dan TikTok di peringkat antarabangsa. Ramai tertanya-tanya mengapa dres berharga AS$490 (RM2,041) yang agak mahal itu menjadi perhatian ramai pada musim pandemik ini.

Berwarna merah jambu dengan rekaan leher berpotongan V selain beropol di bidang dada dan bawah dresnya, persalinan ini disifatkan sebagai pakaian Cinderella, di mana kanak-kanak mahupun selebriti gred A gembira untuk memakainya. Terdapat parodi dan video yang tular mengenai dres ini.

Anda boleh melihat pelbagai bangsa memakainya biarpun berpotongan agak seksi. Wanita berhijab juga memakainya dengan memadankannya bersama pakaian yang lain. Carian strawberry dress di Google juga didapati memuncak pada Julai dan Ogos ini.

 

SEORANG wanita berhijab memadankan dres ini dengan pakaian lain agar tampil sopan.

 

Matoshi, pereka Amerika Syarikat (AS) kelahiran Kosovo itu sebenarnya telah mereka dres ini pada Julai tahun lalu. Apabila pandemik Covid-19 melanda dunia, Matoshi telah berkira-kira untuk mengurangkan pengeluarannya, namun dia tidak menjangka tiba-tiba populariti dres itu meningkat. Disebabkan permintaan tinggi juga dia telah menambah koleksi fesyen strawberinya dengan rekaan pakaian lain termasuk pelitup muka.

“Kebanyakan orang yang beli baju ini tidak tahu hendak pakai di mana, tetapi mereka tetap membelinya walaupun hanya menggayakannya di rumah.

“Saya sendiri pun tidak tahu di mana hendak memakainya. Saya sudah tidak memakai dres sejak pandemik melanda,” akuinya kepada Vogue.

Tambah Matoshi, kebanyakan pakaian rekaannya diinspirasikan dari zaman kanak-kanaknya.

“Saya merasakan antara perkara yang membuat saya berasa gembira ialah strawberi, dres, gaun dan alam semula jadi secara umumnya,” katanya.

 

DRES sensasi ini merupakan rekaan pereka fesyen AS kelahiran Kosovo, Lirika Matoshi.

 

Menurut pemerhati fesyen, dres itu menawan hati ramai kerana rupanya yang comel secara universal, kaya nilai fantasi dan saiznya yang pelbagai.

Seorang jurutera perisian, Nishat Anjum, 24, dari San Francisco, AS berkata, dia membeli dres itu Mei lalu.

“Sebaik melihatnya saya terus menempah pembeliannya kerana rupanya seperti Puteri Disney,” katanya.

Seorang gadis remaja dari Kanada, Sophia Mortensen, 19, pula membeli baju itu menggunakan tabungan untuk percutian ke Korea yang telah dibatalkan.

“Saya membelinya untuk kepuasan diri saya setelah apa yang berlaku,” katanya yang bekerja sambilan membungkus kelengkapan perubatan.

 

PAKAIAN ini turut dikembangkan dengan fesyen-fesyen yang lain termasuk dengan pelitup wajah corak sedondon.

 

Seorang lagi pembeli, Serena Pinuelas, 22, mengakui tertarik langsung apabila melintasi Instagram pereka itu.

“Saya seperti diserang sakit jantung apabila melihatnya kerana terlalu teruja. Dres itu mencetuskan bahagia di saat sukar masa kini dan simbol harapan bagi saya,” katanya kepada The New York Times.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI