fbpx

K2

Sasaran sukan golf sepakan bola

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BOLA disepak menuju ke arah lubang di padang golf.

DI bawah sinar mentari pagi kelihatan kelibat seorang pemuda yang berpakaian lengkap seperti pemain bola sepak berjalan menuju ke kawasan padang golf.

Sebaik tiba di kawasan padang golf tersebut, pemuda itu, Mohd. Sheridan Samsul Baharin, 35, kemudiannya berlatih meletakkan sebiji bola yang dibawanya untuk disepak menuju ke sasaran bendera yang terpacak di padang golf tersebut.

Bagi sesetengah orang mungkin perilaku Mohd. Sheridan pada pagi itu kelihatan sedikit aneh kerana berpakaian seperti seorang pemain bola sepak, namun berada di padang golf.

Tujuan dia datang ke padang golf yang terletak di Kundang Lakes Country Club, Rawang, Selangor pada pagi itu adalah untuk bersama rakan-rakan lain bermain satu wadah sukan baharu iaitu footgolf. Permainan footgolf boleh diterjemahkan sebagai golf sepakan bola.

“Footgolf ialah satu jenis sukan baharu yang menggabungkan antara sukan bola sepak dan golf.

“Saya mula terlibat dengan sukan ini sejak April tahun lalu. Kali pertama mencubanya, saya sudah tertarik dengan sukan ini,” kata Mohd. Sheridan.

MOHD. Sheridan (depan) bermain footgolf bersama rakan-rakannya di Kundang Lakes Country Club, Rawang, Selangor.­

Tambahnya, kini rutinnya setiap minggu adalah mengunjungi padang golf untuk bermain footgolf bersama teman-temannya.

Walaupun baru diperkenalkan di negara ini, footgolf yang merupakan gabungan dua sukan paling popular itu mula mendapat tempat dalam kalangan rakyat negara ini.

Sukan tersebut masih menggunakan peraturan seperti mana yang dipraktikkan dalam permainan golf.

Apa yang membezakannya adalah footgolf dimainkan dengan menggunakan kaki di mana pemain akan menyepak bola menuju ke lubang yang telah ditetapkan. Pendek kata, sepakan kaki menggantikan pukulan kayu golf.

Berbanding bola kecil golf dalam sukan golf, bola yang digunakan pula adalah bola yang biasa dimainkan dalam bola sepak.

Sheridan menjelaskan, dia sebelum ini aktif bermain bola sepak dan golf, menjadikan tidak ada masalah buatnya untuk memainkan footgolf.

“Saya tahu tentang peraturan golf jadi mudah sikit untuk memahami akan sukan baharu ini.

“Seperti sukan golf juga pemenang footgolf akan dikira sebagai pemenang dengan tendangan bola paling sedikit,” katanya.

Tambahnya, sebagai contoh untuk satu golf course atau keseluruhan arena golf adalah 70 par atau sepakan bermakna pemain yang mampu melakukan sepakan di bawah 70 par itu akan dikira sebagai pemenang.

Bagi sukan footgolf, pemain perlu melakukan sepakan mengikut bilangan par yang telah ditetapkan dalam padang golf tersebut.

Untuk padang par tiga, jarak dari mula sepakan (tee off) sehingga ke lubang (green) adalah di bawah 100 meter dan bagi par empat jaraknya adalah sekitar 120 hingga 160 meter, manakala bagi par lima jaraknya adalah 180 meter ke atas.

Cabaran

Bola yang digunakan ialah bola standard bola sepak padang yang dinamakan bola bersaiz lima. Bola itu ditendang untuk dimasukkan ke dalam lubang berukuran diameter 21 inci (53 sentimeter) yang telah tersedia di padang.

Dalam pada itu, Mohd. Sheridan menjelaskan, footgolf nampak mudah untuk dimainkan, namun ada kesukarannya yang tersendiri.

“Untuk mahir dalam sukan ini, pemain perlu mengetahui teknik sepakan. Teknik sepakan yang betul akan membolehkan bola itu jatuh di sasaran yang kita kehendaki.

“Contohnya, untuk par tiga pemain perlu melakukan tiga sepakan untuk memasukkan bola di dalam lubang yang telah disediakan. Jika sepakan pertama tidak menepati sasaran yang kita kehendaki maka kita mungkin akan memerlukan lebih daripada tiga sepakan,” ujarnya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam sukan foofgolf April tahun lalu, Mohd. Sheridan menjelaskan, dia mengetahui mengenai sukan itu setelah ternampak iklan mengenai penganjuran footgolf di laman sosial. Tanpa berfikir panjang Sheridan terus mendaftar untuk menyertainya.

“Sehari sebelum kejohanan, peserta diberi masa untuk mencuba dan berlatih terlebih dahulu. Pada hari kedua barulah kejohanan berlangsung.

“Alhamdulillah untuk kejohanan pertama saya berjaya menjadi antara lima pemain terbaik,” katanya.

Tambahnya, sejak itu dia semakin serius dengan sukan tersebut dan menyertai beberapa lagi kejohanan yang diadakan.

Penglibatan dalam sukan tersebut secara serius juga telah membolehkan Mohd. Sheridan mewakili negara dalam Piala Asia FootGolf yang berlangsung di Australia pada November tahun lalu.

“Kejohanan itu disertai oleh pemain-pemain hebat dari lain-lain negara. Di situ saya dapat lihat betapa hebatnya mereka dalam sukan ini.

“Banyak teknik dan corak permainan yang dapat saya saksikan ketika di sana dan kini corak permainan saya juga berubah berbanding sebelum ini,” katanya.

Kos untuk bermain footgolf juga lebih murah iaitu sekitar RM30 hingga RM50 untuk satu permainan.

Dalam pada itu, bagi Muhammad Sofizal Sokhini, 36, yang kini menduduki rangking pertama footgolf di Malaysia berkata, sukan tersebut sesuatu yang menyeronokkan untuk dimainkan.

Tegasnya, sukan ini juga tidak memerlukan ahli kumpulan yang ramai.

“Saya sebelum ini adalah pemain bola sepak profesional dan kini aktif bermain footgolf. Kebiasaan ego seseorang pemain bola sepak ialah dia akan melakukan sepakan sekuat hati. Namun, berbeza untuk sukan ini kerana pemain perlu belajar mengawal kekuatan sepakannya.

Tambahnya, antara cabaran lain yang dihadapi mereka yang bermain sukan itu adalah keadaan permukaan padang golf.

Sesebuah padang golf dibangunkan dengan 9 atau 18 siri lubang dan permukaannya bergantung kepada bentuk muka bumi di kawasan tersebut.

Jika padang bola sepak rata, padang golf pula sebaliknya kerana mempunyai kawasan yang berbukit dan bertasik.

Adakalanya juga bola yang ditendang pemain footgolf terjatuh ke dalam tasik atau tersangkut di pokok.

LUBANG dalam permainan footgolf bersaiz besar untuk memuatkan bola sepak.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI