fbpx

Polis Selangor lancar operasi selama sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kumaran (depan, tiga dari kiri) mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik pelancaran Ops Pencegahan Jenayah Kontinjen Selangor di IPD Petaling Jaya hari ini.

PETALING JAYA – Polis Selangor melancarkan Ops Pencegahan Jenayah Kontinjen Selangor sebagai langkah mengatasi pertumbuhan indeks jenayah di negeri itu yang dilihat semakin meningkat sejak berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Jun lalu.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor, Datuk K. Kumaran berkata, susulan kelonggaran yang diperolehi selepas tamatnya PKP, penjenayah turut dikesan mengambil peluang tersebut untuk menyambung aktiviti jenayah mereka yang tergendala susulan perintah larangan keluar rumah.

“Sejak berakhirnya PKP, laporan polis yang diterima berhubung kejadian samun, ragut, pecah rumah dan sebagainya menunjukkan peningkatan terutamanya di beberapa daerah di negeri ini.

“Susulan itu, satu langkah drastik telah diambil iaitu dengan melancarkan operasi secara besar-besaran yang akan berjalan sehingga 30 September ini,” katanya pada satu sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran Ops berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

Menurut Kumaran, operasi besar besaran ini akan melibatkan sebanyak sembilan IPD di daerah-daerah dalam negeri Selangor seperti IPD Petaling Jaya, IPD Serdang, IPD Kajang, IPD Gombak, IPD Ampang Jaya, IPD Sungai Buloh, IPD Shah Alam, IPD Klang Utara dan IPD Klang Selatan.

“Operasi yang berjalan selama sebulan ini juga akan melibatkan seramai 74 pegawai dan 668 anggota dari setiap bahagian dan cawangan kontinjen Selangor serta semua elemen pencegahan jenayah seperti unit kereta peronda, unit rondaan bermotosikal, trafik dan sebagainya.

“Sepanjang ops ini berlangsung, anggota-anggota terlibat juga akan membuat tangkapan ke atas individu-individu dikehendaki yang telah dikenalpasti dan membawa mereka ke muka pengadilan,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Kumaran berkata, semakan mendapati kejadian samun jalanan merupakan antara kes jenayah yang kerap diterima polis Selangor, jadi tindakan proaktif bagi membendung serta membuat tangkapan ke atas suspek perlu dilakukan.

“Walaupun kadar pertumbuhan kes jenayah di Selangor tidaklah mencapai tahap membimbangkan namun terdapat sedikit peningkatan susulan tamatnya PKP beberapa bulan lalu dan kami menyasarkan penurunan kadar jenayah sebanyak lima peratus menerusi ops ini.

“Bagaimanapun, bantuan daripada orang awam melalui penyaluran maklumat juga amatlah penting dan tanpa masyarakat, pihak polis tidak boleh melaksanakan tugas dengan berkesan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI