LEBIH 1,000 gelandangan diselamatkan dan ditempatkan di dewan komuniti dan serba guna di sekitar ibu negara pada Mac lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung Covid-19.
Mereka bukan sahaja diselamatkan oleh pihak berkuasa tempatan daripada dijangkiti virus itu, malah dibantu dalam aspek mendapatkan pekerjaan dan penjagaan kesihatan.
Tinjauan Kosmo! kira-kira lima bulan selepas operasi itu dilaksanakan mendapati masih terdapat gelandangan menghuni beberapa lokasi di sekitar ibu kota.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dipetik berkata, gelandangan yang masih berkeliaran di sekitar Kuala Lumpur adalah golongan yang baru datang ke ibu negara.
Bagaimanapun, sebilangan pihak pula percaya golongan yang dimaksudkan itu sebenarnya gelandangan yang sama diselamatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebelum ini, tetapi memilih untuk kembali ke jalanan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika diminta mengulas berhubung perkara itu pada 27 Ogos lalu sekadar menjawab ‘lebih banyak kerja perlu dilakukan sekarang.’
Jawapan beliau kepada penulis melalui aplikasi WhatsApp itu ringkas, namun membayangkan betapa isu gelandangan bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani dalam sekelip mata.
Pakar sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, masalah gelandangan bukan semata-mata tentang makanan, pekerjaan atau tempat tinggal.
Sebaliknya, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris itu berkata, isu pokok mengenai gelandangan adalah persepsi sosial golongan tersebut yang berbeza dengan tanggapan umum.
“Sebahagian mereka menganggap hidup gelandangan menyeronokkan sedangkan ia tidak selari dengan kehidupan sesebuah masyarakat.
“Kita perlu perbaiki persepsi mereka ini terlebih dahulu jika benar-benar mahu mengeluarkan mereka daripada kepompong gelandangan.
“Pemberian makanan, pakaian dan perubatan tidak salah, tetapi perkara utama adalah memperbetulkan persepsi golongan ini tentang definasi kebahagiaan kehidupan,” katanya.
Beberapa gelandangan ketika ditemu ramah penulis mengaku hidup bahagia di jalanan kerana segala keperluan mencukupi.
Hidup bebas tanpa tanggungjawab, makan percuma lima kali sehari, pakaian diberi orang ramai, malah jika bernasib baik mendapat wang saku sumbangan mereka yang bersimpati.
Pengasas Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project), Mohd. Ashraff Khan Md. Najib berkata, ramai gelandangan sudah selesa tinggal di jalanan kerana mereka dimewahkan dengan pelbagai bantuan.
“Kadangkala bantuan berlebihan sehingga mengundang kepada isu pembaziran.
“Sebab itu Empire Project kini lebih memberi tumpuan membantu miskin bandar. Bagi kami golongan ini sepatutnya dibantu,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd. Ashraff yakin masih ada harapan untuk membantu golongan gelandangan berubah jika ada pihak dapat membuka minda mereka kepada peluang memperbaiki diri.
Katanya, gelandangan sama seperti manusia lain yang mempunyai minat dan keupayaan tersendiri, namun mereka perlu didorong untuk menggunakannya akan tetapi ia bukan sesuatu yang mudah.