Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga nelayan termasuk seorang tekong selepas disyaki menggunakan pukat tanpa lesen pada kedudukan 1.4 batu nautika barat laut Pulau Sayak, Kedah awal pagi tadi.
Nelayan tempatan berusia 23, 24 dan 44 tahun itu ditahan ketika sedang leka menangkap ikan di atas bot rawa sorong kira-kira pukul 4 pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, penahanan ke atas ketiga-tiga nelayan tempatan terbabit dijalankan dalam Op Pertiwi/Op Benteng di sekitar perairan Pulau Pinang.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot yang dinaiki seorang tekong bersama dua awak-awak disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tanpa lesen yang sah.
“Mereka telah menggunakan peralatan pukat rawa sorong untuk menangkap ikan dan menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru katanya, pihak APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara. – K! ONLINE