fbpx

Merdekakan diri kita daripada sifat buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
AZIMI MUSTAPHA, PENGARANG BERITA KOSMO.

SABAN tahun, sebut saja merdeka, pasti terbayang di fikiran kita tentang pelbagai program pengisian yang dilakukan oleh pelbagai pihak sama ada badan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan syarikat korporat sepanjang bulan Ogos hingga 16 September.

Sudah pasti kibaran Jalur Gemilang di seluruh negara seolah-olah menjadi sesuatu yang wajib diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan kebangsaan atau bulan kemerdekaan untuk mengenang jasa dan perjuangan orang-orang terdahulu yang menuntut kebebasan negara daripada belenggu penjajah.

Adakah sudah memadai bagi kita menyambut hari merdeka dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan melakukan pelbagai program pengisian kemerdekaan, sedangkan masih terdapat dalam hati kita benih kebencian sesama sendiri.

Tidak dinafikan, semua program bersangkutan dengan bulan kebangsaan yang diatur oleh pihak berwajib dan orang perseorangan adalah penting untuk mengenang kembali detik bersejarah 31 Ogos 1957, Malaysia secara rasmi bebas daripada penjajahan British.

Paling penting, kita perlu menghayati makna kebebasan atau kemerdekaan dalam erti kata lebih mendalam dengan memerdekakan diri kita daripada sifat-sifat negatif seperti hasad dengki, caci mencaci, bersangka buruk, sifat kebencian mendalam dan sebagainya.

Jangan sebut pasal merdeka, sekiranya masih ada dalam sanubari kita dendam lapuk dengan seseorang yang kita kenali disebabkan perkara remeh yang tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk bermasam muka.

Hapuskan ego yang ada dalam diri dan cuba untuk memaafkan orang lain, pasti hidup kita akan menjadi lebih tenang. Pada ketika itulah kita benar-benar menghayati erti kemerdekaan sebenar dalam hidup.

Dalam hal ini, kita sebenarnya merdeka daripada bermusuhan secara berpanjangan, sekali gus membebaskan sifat sombong dalam hati yang selama ini bersarang dan membengkak menjadi barah.

Jika kita amati laman sosial pada masa kini, ramai orang masih ‘terjajah’ dengan sifat mazmumah (keji atau buruk). Mereka tanpa segan silu, memaki hamun dan menjatuhkan air muka orang lain tanpa ada rasa simpati atau bersalah.

Kebanyakan yang berperangai tidak ‘siuman’ di laman sosial lupa, apa perasaan sekiranya orang lain melakukan perkara sama kepada mereka atau orang yang disayangi.

Mungkin pada masa itu, mereka tidak menyesal dan berasa ‘menang’ dalam perdebatan dengan orang lain di alam maya, namun lama-kelamaan mereka pasti terkesan dengan perbuatan tersebut.

Menyesal pada waktu itu mungkin sudah terlambat kerana orang yang pernah dicaci dan dimalukan sudah tiada lagi atau sukar untuk dicari bagi memohon maaf.

Alangkah baiknya sebelum mengeluarkan kata-kata amarah, perlu berfikir dua tiga kali agar tidak menyesal di kemudian hari. Lebih baik merdekakan diri sedari awal agar bibit-bibit permusuhan tidak hadir dalam hidup.

Sesungguhnya memaafkan kesalahan orang lain dan meminta maaf jika terlanjur melakukan kesalahan tidak membuatkan diri kita lemah, sebaliknya tanpa kita sedar ia membebaskan diri daripada terus menggalas batu besar yang selama ini ditanggung seorang diri.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI