JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal ditahan semalam selepas disyaki meminta wang RM100 daripada pemandu lori ketika sekatan jalan raya di Kem Pulada, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota polis yang berusia 32 tahun itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam ditahan selepas pemandu lori terbabit membuat satu laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, pemandu lori tersebut ditahan ketika sekatan jalan raya di laluan berkenaan sebelum anggota polis terbabit meminta wang RM100 untuk melepaskannya.
“Lans koperal tersebut merupakan anggota dari IPD Seri Alam yang bertugas di sekatan jalan raya dekat Kem Pulada.
“Anggota polis terbabit disyaki meminta wang RM100 daripada pemandu lori, tetapi pemandu tersebut buat laporan dan susulan itu, kita buat tangkapan ke atas suspek,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Md. Yusof Ahmad.
Ayob Khan berkata, anggota terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.
Terdahulu, Ayob Khan menyempurnakan Majlis Penyerahan 35 Kereta Peronda Polis (MPV) jenis Honda Civic 1.8 S di Padang Kawad IPK Johor di sini. – K! ONLINE