fbpx

K2

Konvoi jalin hubungan terputus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. AAZANI (tiga dari kiri) bergambar bersama sebahagian ahli Sahoca Bikers kawasan Lembah Klang sebelum bermulanya Konvoi Bermotosikal Jelajah Malaya di Putrajaya baru-baru ini.

BERMATLAMAT untuk menjejaki sahabat lama yang telah lama terpisah telah mendorong Noorazlan Musa, 47, untuk turut serta menyertai konvoi motosikal yang dianjurkan oleh kumpulan bekas pelajar sekolahnya.

Demi menyertai konvoi tersebut, dia yang bertugas sebagai pegawai imigresen di Lembah Klang sanggup memohon cuti bagi membolehkannya untuk turut serta.

“Inilah peluang untuk saya bersama rakan konvoi lain menjejaki sahabat yang lama terpisah dan mengimbau kembali kenangan manis sewaktu zaman persekolahan.

“Setelah tamat persekolahan, semua membawa haluan masing-masing dan jarang berjumpa dan berkumpul semula. Konvoi motosikal ini juga boleh menjadi platform untuk kami merapatkan lagi hubungan silaturahim sesama kami,” katanya yang berasal dari Parit, Perak.

Cari sahabat lama

Baru-baru ini, Noorazlan bersama sekumpulan bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) menyertai misi Konvoi Bermotosikal Jelajah Malaya Sahoca Bikers menjelajah beberapa negeri mencari sahabat lama sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-63.

Konvoi tersebut berlangsung pada 19 Ogos dan berakhir 23 Ogos lalu.

Jarak konvoi yang mereka akan lalui lebih daripada 1,000 kilometer.

 

KONVOI Bermotosikal Jelajah Malaya diadakan untuk menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan di samping menjejaki sahabat lama.

 

Sahoca Bikers merupakan sebuah kelab motosikal yang dianggotai oleh bekas-bekas pelajar KSAH dan berpangkalan di Alor Setar, Kedah.

Walaupun berpengkalan di Kedah kelab tersebut juga aktif di kawasan Lembah Klang kerana terdapat ahli-ahli yang bermastautin di situ.

Ketua Sahoca Bikers bagi kawasan Lembah Klang, Mohd. Aazani A. Rashid, 47, berkata, konvoi tersebut merupakan acara tahunan yang sering dianjurkan oleh kumpulannya bagi menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan.

Tegasnya, objektif utama Konvoi Bermotosikal Jelajah Malaya Sahoca Bikers adalah untuk mendekati sahabat-sahabat yang sekian lama terpisah.

“Untuk konvoi kali ini, kami menjelajah beberapa negeri untuk bertemu dengan sahabat-sahabat yang bekerja dan bermastautin di lokasi yang kami kunjungi.

“Selain menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan, kami juga menyampaikan sumbangan kepada rakan-rakan kurang bernasib baik yang ditemui sepanjang konvoi ini,” katanya.

Tambahnya, pelepasan konvoi itu bermula di sekolah lama mereka iaitu Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar.

Ahli-ahli yang berada di utara akan mula bergerak dari sana, manakala Aazani dan beberapa rakan yang lain akan bergerak dari Lembah Klang dan mereka akan bertemu di Ipoh, Perak sebelum bergerak menuju ke Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu, Aazani menjelaskan, untuk konvoi kali ini juga turut disertai dua bekas guru mereka iaitu Shafferi Rejab, 64, dan Mazlan Abdullah, 62.

Dalam pada itu, Aazani menjelaskan, Sahoca Bikers telah ditubuhkan pada tahun 2017 oleh alumni batch tahun 1990 dan diketuai oleh Ahmad Zahir Hamzah, 47, sebagai Presiden.

“Sebelum ini, kami sering mengadakan pertemuan semula jika ada kelapangan. Daripada situ timbul idea mengapa tidak menubuhkan sebuah kelab motosikal agar kami semua boleh bersantai dengan cara menunggang motosikal.

“Setelah kelab ini ditubuhkan kami sering mengadakan konvoi sebagai salah satu cara bagi memastikan hubungan yang telah terjalin sejak di bangku persekolahan dapat diteruskan,” katanya.

Tambahnya, Konvoi Bermotosikal Jelajah Malaya buat pertama kali diadakan pada tahun 2018 dan selepas itu menjadi rutin tahunan buat ahli kelab Sahoca Bikers.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI