SUDAH menjadi tabu dalam dunia hiburan, status seseorang artis memberi impak besar terhadap populariti. Bujang, berpunya, janda atau duda, semua itu dikatakan menjadi penentu, sama ada seseorang itu kekal diminati atau ditolak.
Pelakon dan model Ikmal Amry pernah melewati tersebut. Akui Ikmal, jumlah pengikut Instagramnya merudum sebaik sahaja melangsungkan pertunangan pada 26 Mei lalu.
Ikmal mengikat tali pertunangan bersama seorang personaliti media sosial, Najla Samshul yang sudah dikenalinya hampir empat tahun.
Kongsi Ikmal, 26, ramai peminat patah hati selepas mengetahui status hatinya sudah dimiliki sehingga bertindak mengundurkan daripada terus mengikuti Instagramnya.
Namun bekas peserta program Hero Remaja 2017 itu sentiasa percaya keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada ketika pendakian karier baru bermula bukan satu kesalahan.
Ikuti kupasan bersama pelakon drama bersiri Gantung The Series itu ketika ditemui usai majlis memperkenalkan artis naungan syarikat Absolut Talent & Management di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh jelaskan sebab mengapa anda bersetuju bergelar artis naungan Absolut Talent & Management?
IKMAL AMRY: Saya dilamar pengasas syarikat berkenaan iaitu Ben Ali selepas menyertai Hero Remaja 2017. Terdahulu, saya bersama syarikat MIG selama tiga tahun.
Alhamdulillah memang banyak perubahan yang berlaku dalam hidup saya untuk tempoh tiga tahun pertama selepas bersama Absolut. Sepanjang diuruskan Absolut, alhamdulillah saya berjaya membeli kereta pertama. Tunang saya Najla juga sudah bernaung bawah syarikat sama.
Berada dalam syarikat yang sama dengan tunang, adakah anda selesa?
Sangat selesa. Sebenarnya bernaung bawah bumbung sama lebih memudahkan kami. Kami dapat berkongsi jadual kerja.
Soal privasi, saya rasa tidak perlu. Sebab antara kami sudah tiada privasi. Kalau saya ada kerja, sekurang-kurangnya dia boleh tahu dengan sendiri apa yang saya buat.
Kalian sudah memilih tarikh pernikahan iaitu pada 19 Disember depan, jadi boleh kongsikan tentang persiapan?
Sejujurnya persiapan untuk bahagian saya tidak dapat dilakukan sepenuhnya sebab terlampau sibuk dengan kerja. Cuma Najla yang banyak uruskan untuk persiapan majlis belah perempuan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Bukan sekadar perjalanan majlis, apa yang lebih penting bagi saya ialah persiapan diri untuk bergelar seorang suami. Saya banyak belajar ilmu agama dan memperbetulkan solat. Soal duit, saya tidak pernah risau sebab sentiasa yakin dengan rezeki Allah.
Anda ambil keputusan berkahwin ketika sedang membina nama, tidakkah timbul sebarang kerisauan?
Sebenarnya nama saya semakin naik selepas bertunang. Sejurus mengikat tali pertunangan, rezeki saya semakin banyak sehingga ditawarkan berlakon dua buah filem pada Oktober depan.
Saya selalu percaya, rezeki datangnya dari Allah, jadi saya tidak pernah risau tentang populariti selepas kahwin. Ini adalah jalan yang betul saya pilih. Selepas kahwin nanti, saya sendiri pun tidak tahu rezeki apa yang Allah akan beri.
Ada sebarang perubahan berlaku kepada anda selepas bertunang?
Saya ada sedikit isu dengan peminat selepas bertunang kerana ada sesetengahnya gembira, tetapi ada yang tidak. Sampaikan saya mengalami penurunan jumlah pengikut dalam Instagram setiap hari selepas mereka tahu saya sudah bertunang.
Apa yang saya lihat, mereka sangat obses sampaikan tidak mahu saya berkahwin dengan sesiapa. Mereka cukup sedih dan patah hati sampaikan mula menghalakan tumpuan ke arah pelakon lain.
Selepas berkahwin kelak, adakah anda ada letakkan syarat tertentu dalam lakonan?
Diakui, saya bukanlah seorang yang baik sangat tetapi kalau babak yang mengundang kecaman, sebaiknya saya akan elak. Kalau babak bercinta, itu perkara biasa. Jika diminta untuk lakukan babak buka baju, tiada masalah kalau hanya saya seorang.
Sebab dalam Instagram pun, saya tetap tunjuk semua itu. Bukan atas rasa untuk menunjuk tetapi tidak salah berkongsi apa yang saya ada. Saya mengaku tidaklah hebat mana berlakon, jadi saya gunakan kelebihan memiliki badan yang cantik untuk berkongsi kepada peminat. Sekali gus beri inspirasi kepada orang untuk dapatkan badan yang menarik.