BRUSSELLS – Pelumba utama pasukan Mercedes, Lewis Hamilton mengakui faham dengan kekecewaan penyokong selepas menyaksikan dirinya mudah menjuarai perlumbaan Grand Prix (GP) Belgium di Litar Spa kelmarin.
Sebagai rekod, Hamilton tidak mempunyai masalah untuk mendominasi GP kelima daripada tujuh perlumbaan musim ini selepas menafikan cabaran rakan sepasukan, Valtteri Bottas di kedudukan kedua dan jaguh Red Bull, Max Verstappen di podium yang ketiga.
Kata Hamilton, situasi Formula 1 (F1) ketika ini bukanlah perkara yang baharu kerana ia pernah berlaku sewaktu era dominasi bekas pelumba legenda Ferrari, Michael Schumacher sebelum ini.
“Saya faham ramai yang tidak lagi menonton F1 kerana anda sudah tahu siapa yang akan menjadi juara. Namun, situasi ini bukanlah mengejutkan kerana saya sendiri pernah merasa pengalaman yang sama.
“Secara jujur, saya membesar ketika era Schumacher mendominasi perlumbaan F1 dan ia adalah sesuatu yang membosankan kerana anda sudah tahu siapa yang akan menjadi juara.
“Namun, ia tidak menjadi masalah buat saya ketika ini kerana apa yang penting saya masih gembira untuk bersaing dan memberikan seratus peratus di litar.
“Malah, Bottas sentiasa menanti ruang dan peluang untuk memintas selain prestasi jentera Red Bull juga semakin meningkat. Justeru, saya perlu sentiasa berwaspada,” katanya.
Hamilton yang memburu gelaran dunia ketujuh peribadi sudah jauh mendahului carta pendahulu selepas mengumpul 157 mata daripada tujuh perlumbaan musim ini. – AGENSI