fbpx

Cadang bina Lebuh Raya Seremban ke Kemayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Eddin Syazlee Shith (kiri) pada Majlis Penyerahan Alat Pengimbas Haba di Pejabat Parlimen Kuala Pilah di Melang, dekat sini, hari ini.

KUALA PILAH – Kementerian Kerja Raya bercadang untuk membina Lebuh Raya melalui jalan Seremban hingga ke Kemayan, Pahang bagi membantu menjimatkan masa perjalanan dari kedua-dua negeri tersebut.

Timbalan Menterinya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, cadangan itu sebagai langkah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di Jalan Seremban-Kuala Pilah terutama pada cuti umum atau musim perayaan.

“Kami ada persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ketika itu baginda menjadi pemangku Sultan Pahang.

“Baginda turut mengalu-alukan projek jalan Seremban-Pahang memandangkan jalan ini menjadi pilihan pengguna kerana ia berbentuk landai berbanding jalan berbukit di sebelah Bukit Tinggi, Pahang.

“Pembinaan Lebuh Raya ini juga bagi mengelakkan kesesakan dan memendekkan masa perjalanan pengguna berikutan perjalanan menggunakan Lebuh Raya Karak sering mengalami kesesakan teruk,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Alat Pengimbas Haba di pejabatnya dekat sini hari ini.

Bagaimanapun, jelas Eddin Syazlee, pihak kementerian masih dalam peringkat kajian bagi pembinaan Lebuh Raya tersebut dan ia tertakluk kepada peruntukan sedia ada.

“Jangkaan untuk menyiapkan Lebuh Raya tersebut adalah selepas kajian dibuat, buat masa ini, kertas cadangan sudah ada, cuma kita tidak dapat mengetahui jangkaan untuk projek pembinaan disiapkan.

“Saya berharap agar projek ini diteruskan dan dibina kerana ia bukan sahaja untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi sekali gus dapat meningkatkan taraf ekonomi dan mempromosikan pelancongan penduduk setempat,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 15 unit pengimbas A.I akan dipasang antaranya di kawasan sekitar Kuala Pilah.

“Pengimbas haba (A.I) ini bertujuan memberi manfaat kesihatan lebih-lebih lagi sewaktu penularan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.

“Antara lokasi yang dipasang pengimbas ini adalah di Istana Seri Menanti, lobi Kementerian Kerja Raya, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah, Pejabat Parlimen Kuala Pilah, lima buah sekolah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Burhanuddin dan Kolej Vokasional Juasseh,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI