JOHOR BAHRU – Seramai 12 lelaki tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam satu sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long dalam beberapa serbuan di sekitar bandar raya ini, Batu Pahat, Selangor dan Kuala Lumpur di antara 15 hingga 22 Ogos lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan pada 15 Ogos, seramai sembilan ditahan berusia antara 23 hingga 36 tahun.
“Penahanan pertama pada 15 Ogos itu membabitkan seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Kepong dekat Kuala Lumpur.
“Susulan tangkapan pertama, kita menahan tujuh lelaki di sebuah bangunan rumah kedai di Pusat Perdagangan Danga Utama di sini, manakala seorang lagi ditahan di Kampung Sungai Suloh dekat Batu Pahat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, menerusi serbuan kedua pada 22 Ogos pula, tiga lagi lelaki berumur antara 29 hingga 46 tahun berjaya ditahan di Sepang dekat Selangor serta Skudai dan Johor Jaya di sini.
Menurutnya, selain penahanan 12 lelaki terbabit, polis turut merampas sejumlah barangan dipercayai terlibat dengan sindiket itu termasuk 14 komputer riba, 52 telefon bimbit pelbagai jenama dan 43 keping pelbagai kad sim.
Selain itu, turut dirampas ialah lima buah kereta, empat plastik lut sinar berisi cat merah, dua botol berisi cat merah serta satu unit pemprosesan pusat (CPU). – K! ONLINE.