Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
SEREMBAN – Seramai tujuh bayi dilahirkan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini ketika negara menyambut Hari Kebangsaan ke-63, hari ini.
Sehingga pukul 11 pagi tadi, HTJ menerima kelahiran masing-masing enam bayi lelaki dan seorang bayi perempuan.
Bayi pertama lahir pada pukul 1.03 pagi tadi apabila seorang suri rumah, S. Kavita, 25, dari Nilai melahirkan seorang bayi perempuan seberat 2.2 kilogram (kg) yang merupakan anak ketiganya.
Menurut Kavita, dia tidak menyangka akan melahirkan anaknya pada hari kemerdekaan kerana dimaklumkan sebelum ini oleh doktor tarikh dia bersalin adalah pada 5 Oktober.
“Sebenarnya saya tidak menyangka akan melahirkan anak pada hari merdeka kerana tarikh bersalin adalah pada bulan Oktober. Saya pernah mengharap untuk dapat bayi merdeka untuk anak kedua namun tidak kesampaian.
“Semasa keluar daripada bilik bersalin, semua ucap tahniah kepada saya. Saya gembira kerana akhirnya dapat melahirkan bayi merdeka,” katanya ketika ditemui pemberita di HTJ dekat sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi suri rumah, Nur Amirah Meslan, 26, berkata, dia memang berharap dapat melahirkan bayinya pada 31 Ogos walaupun doktor memaklumkan bayinya dijangka lahir pada 16 September.
“Suami dan saya selalu bercakap dan memegang perut saya meminta bayi kami keluar pada hari merdeka. Pada mulanya, malam tadi sakit sikit dan cuba datang hospital, bila tengok bukaan sudah 2 sentimeter.
“Alhamdullilah, pada tengah malam mula sakit dan saya dapat bersalin secara normal. Gembira kerana dapat juga saya melahirkan bayi merdeka seberat 3.3 kg,” katanya yang memberitahu bayi yang dilahirkan itu merupakan anak ketiganya. – K!ONLINE