Oleh ROSLIZA MOHAMED
KOTA BHARU – Tiga maut termasuk dua beranak dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Kilometer 130, Jalan Raya Timur Barat dekat Jeli petang semalam.
Kemalangan pada pukul 5.30 petang itu menyebabkan penumpang kereta jenis Perodua Bezza, Nur Damia Kamaruddin, 11, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, selain Nur Damia, ibunya yang merupakan pemandu kereta itu, Rohaida Mohamed, 39, dan penumpang iaitu abang iparnya, Mohd. Rozi Bin Husain, 47, disahkan meninggalkan dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Jeli hari ini.
Katanya, berdasarkan siasatan, kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu Rohaida sedang dalam perjalanan dari arah arah Gerik ke menuju ke Jeli.
“Apabila tiba di lokasi kejadian yang merupakan laluan selekoh, kereta tersebut telah terbabas masuk ke laluan bertentangan.
“Insiden itu telah menyebabkan kereta itu berpusing beberapa kali sebelum bertembung dengan kereta sebuah jenis Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurut Ahmad, susulan kemalangan itu, kedua-dua pemandu kereta pada awalnya mengalami kecederaan parah manakala Nur Damia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, bagaimanapun, Rohaida dan Mohd. Rozi disahkan meninggal dunia ketika sedang dirawat di hospital hari ini.
“Siasatan mendapati, seramai lapan orang termasuk pemandu menaiki kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki dua beranak itu.
“Lapan lagi mangsa termasuk penumpang kereta jenis Perodua Bezza dan Perodua Myvi yang cedera dihantar ke Hospital Jeli dekat sini untuk rawatan lanjut,” katanya.
Tambah Ahmad, berdasarkan siasatan, polis tidak menolak kemungkinan kemalangan dipercayai berpunca daripada kereta Perodua Bezza gagal mengawal kereta semasa melalui selekoh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE