LONDON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp terpaksa menerima hakikat skuad bimbingannya masih belum cukup kuat untuk menewaskan Arsenal walaupun pihak lawan cuma menurunkan kebanyakan pemain daripada barisan kedua dalam aksi Perisai Komuniti kelmarin.
Klopp, 53, juga mengakui percaturan strateginya tidak menjadi menyebabkan The Reds terpaksa akur tewas 4-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi di Stadium Wembley itu.
Meskipun mendominasi perlawanan itu tetapi Liverpool masih bergelut untuk menembusi taktikal pertahanan 3-4-3 yang diterapkan pengurus Arsenal, Mikel Arteta sehingga gagal mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol dalam aksi tersebut.
“Kami sebenarnya ada peluang untuk menjaringkan lebih daripada satu gol tetapi kami tidak berjaya melakukannya apabila menentang pasukan dengan formasi bertahan seperti ini.
“Kami kurang kreativiti pada suku masa ketiga perlawanan. Bagi saya, apa yang diberikan hari ini (kelmarin) masih belum cukup jika kami mahu menang dalam perlawanan ini,” kata Klopp.
Walaupun tewas, namun Liverpool sekurang-kurangnya mampu menarik nafas lega apabila Takumi Minamino akhirnya berjaya meledak gol pertamanya bersama pasukan itu sejak berhijrah daripada RB Salzburg pada Januari lalu.
The Reds akan memulakan kempen untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dimenangi musim lalu menentang pendatang baharu, Leeds United di Anfield pada 12 September ini. – AGENSI