KUALA LUMPUR – Dua sindiket perjudian online yang menyasarkan pelanggan warga China dilumpuhkan selepas polis menyerbu dua unit kediaman mewah di KL Trilion di sini malam tadi.
Serbuan pada pukul 12.15 tengah malam itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Hasil serbuan pihak polis menahan 30 individu termasuk tiga lelaki warga China berusia antara 19 hingga 30 tahun yang merupakan operator pusat perjudian tersebut.
Difahamkan, sindiket itu didalangi dua lelaki tempatan yang mampu mengaut keuntungan lebih RM100,000 setiap hari.
Dalam serbuan itu, pihak polis mendapati, sindiket berkenaan baru beroperasi selama 15 hari dengan kadar bayaran sewa kediaman RM13,000 bagi satu unit.
Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE