WOLVERHAMPTON – Pengurus Wolverhampton Wanderers, Nuno Espirito Santo dilaporkan belum bersedia menandatangani kontrak baharu bersama pasukan itu.
Pengurus dari Portugal itu dilaporkan kurang senang dengan jumlah dana yang diberikan oleh pihak pengurusan untuk beliau mendapatkan pemain baharu.
Berbaki kontrak selama 12 bulan, Wolves telah mengemukakan tawaran baharu dengan kontrak selama tiga tahun tetapi Santo enggan menyatakan persetujuan sebelum pihak pengurusan bersedia memberikan dana yang lebih besar untuk berbelanja pada jendela perpindahan kali ini.
Santo berjaya membimbing Wolves menduduki tempat ketujuh pada saingan Liga Perdana Inggeris buat musim kedua berturut-turut dan mahukan dana yang lebih besar bagi memantapkan lagi pasukannya.
Lebih mengeruhkan keadaan, Wolves dilaporkan sedang mempertimbangkan tawaran daripada Tottenham Hotspur untuk mendapatkan tonggak pertahanan Santo iaitu Matt Doherty.
Mereka terpaksa melepaskan Doherty dalam usaha merealisasikan impian mendapatkan pemain Arsenal, Ainsley Maitland-Niles yang dinilaikan dengan harga £20 juta (RM111.23 juta).
Selain itu, pemain yang menjadi kegemaran peminat Wolves, Adama Traore juga mungkin meninggalkan pasukan itu selepas pihak pengurusan bersedia melepaskannya dengan nilai £40 juta (RM222.46 juta).
Pada masa sama, Santo dilaporkan berminat untuk mendapatkan pemain pertahanan Athletic Bilbao, Unai Nunez yang mempunyai nilai pelepasan sebanyak £27 juta (RM150.16 juta).
Bagaimanapun, pemilik Wolves, Fosun International menganggap harga tersebut terlalu tinggi sekali gus menambahkan lagi kekecewaan Santo. – AGENSI