BENTONG – Polis telah menahan pemilik sebuah kereta yang melanggar seorang penunggang motosikal di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, sebuah kereta dirakam melalui video dashcam memaparkan terlanggar sebuah motosikal.
Rakaman itu menimbulkan kemarahan orang ramai apabila dilihat kereta Camry itu tidak memberhentikan keretanya selepas melanggar motosikal terbabit.
Kosmo! Online difahamkan pemandu kereta itu ditahan ketika membuat laporan polis di Gombak.
Dalam pada itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Yusof Unis berkata pihaknya sudah mendapat maklumat mengenai kejadian itu.
“Kita sudah dapat (maklumat) dan tunggu kenyataan rasmi nanti,”katanya di sini, hari ini.
Petang tadi, tular rakaman video sebuah kereta jenis Toyota Camry yang memotong di laluan kecemasan sebelah melanggar sebuah motosikal.
Tindakan pemandu kereta berkenaan yang terus memecut meninggalkan mangsa yang terjatuh di atas jalan menimbulkan kemarahan netizen mengenai sikap tidak bertanggungjawab individu berkenaan. – K! ONLINE