Oleh ZAKI SALLEH
IPOH – Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu terhumban ke dalam parit di Persiaran Cempaka Sari 34, Taman Cempaka di sini pagi tadi.
Kejadian pukul 8.25 pagi itu mengakibatkan mangsa, P. Paramaswaran, 57, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Khariri Nasarudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 8.28 pagi sebelum sepasukan anggota bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian.
“Semasa bomba tiba di tempat kejadian mangsa masih berada di dalam longkang bersama motosikal jenis Honda Wave yang ditunggangnya.
“Anggota membawa naik mangsa dan pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mayat mangsa kemudian diserahan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.10 pagi.-K! ONLINE