PUTRAJAYA – Satu kes kematian Covid-19 direkodkan hari ini membabitkan Kluster Tawar menjadikan jumlah kematian berkaitan Covid-19 meningkat sebanyak 127 atau 1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa berusia 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.
“Mangsa mula mengalami gejala batuk sejak 11 Ogos lalu dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 13 Ogos lalu setelah didapati positif Covid-19.
“Keadaan kesihatan beliau merosot dan memerlukan bantuan pernafasan sejak 19 Ogos lalu sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 10.35 malam, semalam,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Berhubung situasi terkini Covid-19 dalam negara, Noor Hisham berkata, enam kes positif dikesan hari ini dengan empat daripadanya adalah kes import membabitkan kluster baharu iaitu Kluster Bunga.
“Dua lagi kes adalah penularan tempatan membabitkan Kluster Telaga dan Kluster Tawar masing-masing dengan satu kes menjadikan jumlah kes di kluster tersebut sebanyak lima dan 74 kes,” katanya. -K! ONLINE