Oleh NUR SYAZWANA MANSOR
SUNGAI PETANI – Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas tergelincir ke dalam longkang di Jalan Padang Temusu, Kampung Padang Temusu di sini semalam ditemui mati lemas kira-kira pukul 9.50 pagi tadi.
Mayat mangsa, Muhammad Uwais Al Hafiz Hamilzal, 5, ditemui tersangkut pada ranting pokok yang tumbang kira-kira 1.4 kilometer dari lokasi mangsa terjatuh.
Ketua Zon 2 Sungai Petani, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Mohd. Mazukhi Shaffie berkata, operasi mencari dan menyelamat pada hari kedua dilakukan dengan kekuatan seramai 32 anggota bomba.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula seawal pukul 7.30 pagi tadi dengan menumpukan pencarian di kawasan hilir sungai.
“Kita melakukan pencarian dengan dua kaedah iaitu pencarian di permukaan dan di dalam air sebelum mayat mangsa ditemui,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Kata beliau, operasi itu melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Tikam Batu serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
“Selain itu, operasi juga dibantu unit anjing pengesan (K9), Pasukan Bomba Sukarela Bakar Arang dan unit dron,” ujarnya. – K! ONLINE