KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan pengangkutan berasaskan e-hailing terbaharu, Gojo mengunjurkan seramai 50,000 pemandu berdaftar di bawah syarikat tersebut menjelang akhir tahun hadapan.
Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Kumpulan Gojo, Pradeep Kumar berkata, unjuran tersebut disokong pendaftaran luar jangka pemandu baharu yang kini mencecah 3,000 orang walaupun baru sahaja dilancarkan kurang dua minggu lalu.
Menurutnya, pemandu baharu yang mendaftar dengan Gojo sebelum 31 Disember 2020 turut berpelung memperolehi kredit e-dompet bernilai RM250 selain tiada potongan komisen selama dua bulan.
“Setakat ini, kami telah membelanjakan kira-kira RM500,000 nilai kredit e-dompet kepada lebih 2,700 pemandu berdaftar di sekitar Lembah Klang.
“Berpegang teguh pada komitmen kami terhadap pemandu, Gojo turut menyediakan dana pengasas yang bertujuan melindungi kebajikan pemandu yang terkesan dengan penularan pandemik Covid-19,” katanya di sini baru-baru ini.
Jelas Pradeep, menerusi dana tersebut, pemandu yang memperkenalkan penumpang layak menerima sebahagian kecil daripada hasil pendapatan.
Dalam pada itu, Pengarah Operasi Gojo, Shaharul Bahrin Nahruddin berkata, tujuan penubuhan Gojo bukan sekadar bermotifkan keuntungan semata-mata.
“Kami mahu membantu pemandu serta penumpang yang mahukan perkhidmatan pengangkutan yang cekap, cepat, selamat dan lebih murah,” ujarnya