Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
KUALA LANGAT – Hanya kerana bertanya mengapa dihalang memasuki Pantai Kelanang di sini, seorang remaja parah dipukul sekumpulan lelaki menggunakan spanar dan helmet semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Muhd. Amin Kamaruddin, 19, cedera pada muka dan dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal bersama seorang rakannya berusia 18 tahun telah pergi ke pantai tersebut.
Katanya, ketika cuba memasuki kawasan tersebut mangsa bersama rakannya telah dihalang sekumpulan lelaki.
“Apabila mangsa bertanya ‘kenapa’, salah seorang daripada kumpulan suspek terus berdiri dan berlaku pertengkaran mulut.
“Secara tiba-tiba, kumpulan suspek itu telah memukul mangsa secara beramai-ramai menggunakan helmet dan spanar dan rakan mangsa cuba melindungi mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azizan menambah, pergaduhan tersebut dikatakan sukar dikawal apabila terdapat beberapa individu lain yang membantu turut dipukul kumpulan suspek tersebut.
Ujar beliau, kumpulan suspek bagaimanapun bertindak melarikan diri selepas mendapati lebih ramai orang awam ke lokasi kejadian bagi meleraikan pergaduhan tersebut.
“Keadaan mangsa yang telah tidak berbaju didapati tidak sedarkan diri itu dengan kesan cedera pada muka.
“Rakan dan keluarga mangsa kemudiannya telah membawanya ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut dan dibenarkan pulang pukul 1 pagi tadi,” katanya.
Jelas beliau, susulan kejadian keluarga mangsa telah membuat laporan polis dan usaha mengesan kesemua suspek sedang dijalankan pihaknya.
“Berdasarkan siasatan awal, tiga suspek yang menggunakan spanar dan helmet itu dikenali sebagai Azreen, Pie dan Piji.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata,” katanya. -K! ONLINE