Oleh NORLIA RAMLI
BALING – Cubaan seorang lelaki membawa hampir satu tan daun ketum menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima ke Kelantan berjaya dipatahkan anggota polis di Jalan Kulim-Baling-Gerik, Kampung Kuala Kuang di Kupang di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu, polis berjaya menahan MPV tersebut dan mendapati ia sarat dengan 96 bungkusan plastik hitam berisi 960 kilogram (kg) daun ketum dari tempat duduk penumpang hadapan hingga belakang.
Pemandu kenderaan berkenaan bagaimanapun sempat meloloskan diri di kawasan semak di kampung itu.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali memberitahu, anggota trafik yang menjalankan tugas rondaan cegah kemalangan di jalan baharu tersebut mengesan sebuah MPV jenis Toyota Estima warna kelabu dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota bertindak menghampiri MPV itu dan mengarahkannya berhenti, namun pemandu kenderaan tersebut memecut dan masuk ke lorong kecil dalam kawasan kampung.
“Suspek juga melanggar beberapa batang besi bumbung rumah di tepi jalan kampung,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling di sini hari ini.
Kata beliau, anggota polis terus mengejar MPV itu sehingga kenderaan tersebut berhenti di tepi jalan berhadapan sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.
“Suspek dilihat terus melarikan ke kawasan semak berbukit,” ujarnya.-K! ONLINE