PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan terus terbang bersama rakan penerbangan rasminya, Malaysia Airlines Berhad bagi tempoh tiga tahun lagi.
Syarikat penerbangan kebangsaan itu telah menandatangani perjanjian lanjutan usaha sama bagi tempoh 2021 hingga 2023 berikutan perjanjian selama dua tahun sebelum ini bakal berakhir pada 31 Disember 2020.
Majlis perjanjian usaha sama itu berlangsung antara Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam serta Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan, Malaysia Airlines Berhad, Lau Yin May di Petaling Jaya semalam.
Ia disaksikan bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Kapten Izham Ismail.
Hamidin berkata, kerjasama antara FAM dan Malaysia Airlines cukup simbolik kerana kedua-duanya merupakan jenama kebangsaan yang begitu sinonim dengan nama negara iaitu Malaysia.
Sementara itu, Izham pula berkata, pihaknya teruja untuk memulakan babak seterusnya dalam kerjasama antara skuad bola sepak negara dengan syarikat penerbangan kebangsaan.
“Sejajar dengan Hari Kebangsaan yang akan tiba, ini adalah masa terbaik untuk Malaysia Airlines dan FAM bergabung usaha dan terbang bersama membawa bendera Malaysia ke seluruh dunia,” katanya.