LIVERPOOL – Pengendali baharu Barcelona, Ronald Koeman tidak menyembunyikan minatnya untuk mendapatkan pemain tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum pada jendela perpindahan kali ini.
Bagaimanapun, pengurus dari Belanda itu masih belum mengarahkan pihak pengurusan pasukan itu untuk bertindak dan tidak ada sebarang tawaran dikemukakan setakat ini.
Pemain versatil berusia 29 tahun itu dikaitkan menyertai Barcelona kerana dia merupakan antara pemain kegemaran Koeman dalam skuad kebangsaan Belanda yang dibimbingnya sebelum ini.
Wijnaldum sudah memasuki tahun terakhir kontraknya di Anfield dan Liverpool dikatakan tidak mahu kehilangan pemainnya secara percuma tetapi belum ada sebarang rundingan dilakukan untuk tawaran kontrak baharu kepada pemain berkenaan.
Bagaimanapun, The Reds dilaporkan tidak berhajat untuk menjual pemainnya itu ketika ini biarpun tiada kontrak lanjutan ditawarkan menyebabkan semua pilihan masih terbuka.
Liverpool perlu membuat penilaian terhadap beberapa faktor termasuk umur Wijnaldum, bajet pasukan serta perancangan Jurgen Klopp sebelum membuat sebarang keputusan.
Wijnaldum melalui tempoh yang cemerlang bersama Liverpool musim ini apabila menjadi pemain tengah yang paling kerap diturunkan dan dilantik menjadi pembantu kapten kepada Jordan Henderson. – AGENSI