BEIRUT, Lebanon – Lebih separuh populasi Lebanon berisiko berdepan krisis makanan susulan letupan di pelabuhan Beirut, kata sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu hari ini.
“Lebih separuh penduduk negara itu berisiko tiada akses untuk mendapatkan makanan asas menjelang hujung tahun ini.
“Langkah segera perlu dilaksana bagi menghalang krisis makanan daripada berlaku,” kata Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Sosial dan Ekonomi Asia Barat (ESCWA), Rola Dashti.
Beliau berkata, kerajaan Lebanon perlu mengutamakan untuk membina semula tempat simpanan gandum terbesar di negara itu yang terletak di pelabuhan Beirut.
Lebanon berdepan keruntuhan ekonomi sebelum letupan besar berlaku di pelabuhan Beirut pada 4 Ogos lalu. Bencana itu membunuh 188 orang, mencederakan ribuan lagi dan memusnahkan kawasan yang luas di Beirut.
Negara Asia Barat itu gagal membayar hutang, manakala mata wangnya menjunam dan kadar kemiskinan pula melambung tinggi di samping lonjakan dalam bilangan kes Covid-19.
“Kadar inflasi tahunan dijangka naik lebih 50 peratus tahun ini berbanding 2.9 peratus pada 2019,” kata ESCWA.
Lebanon mengimport 85 peratus keperluan makanannya, manakala kemusnahan tempat simpanan gandum di pelabuhan Beirut memburukkan lagi situasi cemas di negara itu.
Menurut Dashti, pihak berkuasa perlu menetapkan harga siling untuk makanan dan menggalakkan jualan terus daripada pengeluar tempatan kepada pengguna.
Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya meluaskan lagi program keselamatan makanan kepada pelarian dan juga masyarakat tempatan bagi meredakan risiko ketegangan dalam masyarakat. – AFP