fbpx

Kenyataan Tengku Razaleigh tidak mewakili pandangan parti – Annuar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANNUAR

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Kenyataan oleh ahli politik veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu barisan menteri UMNO menarik diri daripada kerajaan adalah bukan pandangan parti.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan dikeluarkan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu hanya pandangan peribadi sahaja.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, beliau tidak setuju dengan pandangan itu kerana segala urusan dan dasar parti politik dalam Perikatan Nasional (PN) adalah urusan parti masing-masing dan ia tidak harus dicampuri.

“Pas ada dasar mereka begitu juga UMNO, MIC dan MCA, jadi itu juga kena hormati serta tidak harus mencampuri.

“Jadi tidak ada berbangkit isu hanya kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terima ahli bukan Melayu, maka kita pula nak kena berpecah dalam Kabinet,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri acara perarakan berkuda sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 dan Jubli Perak Putrajaya ke-25 di Dataran Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tengku Razaleigh yang meminta pemimpin UMNO dalam Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera berundur daripada jawatan masing-masing.

Gesaan itu dibuat susulan pengumuman Bersatu untuk menerima bukan Melayu sebagai ahli parti.

Sementara itu, mengulas kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim semalam, Annuar berkata, beliau mengingatkan diri dan pemimpin parti supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan itu.

“Bila yakin itu maknanya kita masuk zon bahaya. Sebelum Pilihan Raya Umun ke-14 (PRU-14), Barisan Nasional (BN) menang di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, jadi ramai yang kata kita akan menang dengan mudah,” katanya.

Pada PRK Slim semalam, BN berjaya mempertahan kerusi dengan majoriti lebih besar iaitu 10,945 undi.

Calonnya, Mohd. Zaidi Aziz meraih 13,060 undi, mengatasi dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dan S. Santharasekaran, 44, masing-masing memperoleh 2,115 dan 276 undi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI