PEMAIN naturalisasi Pahang, Mohamadou Sumareh diminta untuk tidak menjadi kacang lupakan kulit selepas gagal melapor diri pada sesi latihan skuad Tok Gajah yang dibimbing oleh ketua jurulatih, Dollah Salleh sejak sebulan lalu.
Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang percaya apa yang dilakukan oleh Sumareh sebagai tidak bersikap budiman kerana barisan pemain Pahang yang lain tidak mempunyai masalah untuk bersama pasukan.
“Betul dia (Sumareh) tidak menghadiri latihan pasukan hampir sebulan dan masih tidak kelihatan pada hari perlawanan Pahang menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam (kelmarin).
“Situasi ini sudah dimaklumkan kepada pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Pahang (PFA) dan kami akan meneliti mengenai hukuman disiplin yang bakal dikenakan ke atasnya nanti.
“Apa yang pasti, saya anggap dia seperti tidak mengenang jasa kerana Pahang sudah begitu banyak berjasa kepadanya kerana dia hadir sebagai pemain import sebelum berjaya mendapat kerakyatan Malaysia,” katanya.
Mohammed Suffian ditemui pemberita selepas menjadi wakil kepada PFA yang menghadiri Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kali ke-56 di Petaling Jaya semalam.
Mengulas lanjut, Mohammed Suffian mahu Sumareh mencontohi apa yang dilakukan oleh bekas kapten pasukan Pahang, Matthew Davies yang berhijrah ke JDT secara terhormat pada awal tahun ini.
“Jika dia (Sumareh) tidak ada hati lagi untuk mewakili Pahang, dia boleh maklumkan kepada kami dengan mencari penyelesaian terbaik dan bukan bertindak menghilangkan diri.
“Contohilah apa yang dilakukan oleh Davies kerana segalanya boleh dibincangkan. Kontrak Sumareh bersama Pahang juga masih lama iaitu sehingga tahun 2022 dan saya harap keputusan menang-menang dapat dilakukan,” katanya.