JAKARTA – Ibu Pejabat Polis Ciracas di Jakarta Timur di Indonesia terbakar selepas satu kumpulan individu yang tidak dikenali melakukan serangan pada awal pagi semalam, lapor portal berita ANTARA News.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.45 pagi (waktu tempatan) itu adalah kejadian kedua dalam tempoh kurang daripada dua tahun, dengan insiden pertama berlaku pada 11 Disember 2018.
Ketua Perhubungan Awam Polis Daerah Metro Jaya, Komisioner Yusri Yunus menyatakan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung serangan itu dan melihat sama ada ia mempunyai berkait dengan insiden tahun 2018.
“Kami masih siasat kes ini,” katanya di Ibu Pejabat Polis Ciracas sambil mengesahkan pihak polis mengalami sejumlah kerugian akibat kemusnahan dalam serangan tersebut.
Ini termasuk kebakaran yang memusnahkan kenderaan rasmi pegawai kanan polis Ciracas, sebuah bas operasi milik jabatan polis dan runtuhan tembok pagar ibu pejabat Ciracas.
Insiden tersebut turut menyebabkan dua anggota polis yang melakukan rondaan malam turut cedera pada jari akibat terkena objek tajam dan terpaksa dirujuk ke hospital.
Yusri mengesahkan dua anggota yang cedera itu dibawa ke Hospital Polis Kramat Jati dekat sini.
“Sebenarnya ada tiga anggota sedang menjalankan rondaan tetapi dua daripada mereka cedera. Ada seramai 100 individu yang tidak dikenali tiba dan melakukan kemusnahan di Ibu Pejabat Polis Ciracas,” katanya.
Beliau juga mengesahkan semua tahanan di bilik tahanan ibu pejabat polis sempat dibawa keluar tanpa sebarang insiden.
Komander Tentera Wilayah Jakarta Timur, Kolonel Rahyanto Edy menegaskan tiada anggota tentera mereka terlibat dalam serangan itu.
Pihak Tentera Nasional Indonesia (TNI) dilaporkan membantu polis dalam siasatan kes tersebut.
Sebelum ini, kes serangan pertama yang berlaku dua tahun lalu didakwa terjadi sehari selepas salah seorang anggota TNI dipukul beberapa penjaga tempat letak kereta di Ciracas.
Kes itu membawa kepada kejadian rusuhan yang turut menyaksikan ibu pejabat Ciracas dan beberapa kenderaan dekat bangunan itu rosak.
Portal Kompas melaporkan seorang pemandu kereta mendakwa terserempak dengan sekumpulan lelaki bersenjata kayu, besi dan buluh yang mengarahkan dia berpatah balik semasa kejadian serangan di premis tersebut. –AGENSI