fbpx

Harimau Selatan belum sempurna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHD. RAMADHAN meraikan jaringan bersama rakan-rakan sepasukan ketika membantu JDT menewaskan Pahang 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur kelmarin. – Johor Southern Tigers

KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mengakui pasukannya masih belum menemui rentak sebenar meskipun berjaya meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Pahang 3-2 pada aksi Liga Super di kelmarin.

Pada aksi di Stadium Darul Makmur itu, skuad Harimau Selatan berjaya meraih tiga gol awal menerusi Leandro Velazquez, Muhd. Ramadhan Saifullah dan Gonzalo Cabrera.

Bagaimanapun, Pahang cuba bangkit apabila meledak dua gol menerusi Mohd. Faisal Abdul Halim dan Herold Goulon, namun gagal memberi sebarang makna selepas keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

Mora berkata, ia bukan perlawanan yang mudah meman­dangkan ini adalah kali pertama anak-anak buahnya beraksi secara kompetitif selepas saingan Liga Malaysia direhatkan lebih lima bulan ekoran pandemik Covid-19.

“Ia bukanlah aksi sempurna oleh barisan pemain dan saya faham dengan perkara tersebut kerana bukan mudah untuk kembali ke padang secara emosi dan fizikal selepas berehat lebih lima bulan.

“Namun, saya berpuas hati secara keseluruhan walaupun ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki selepas kami dibolosi dua gol setelah selesa dengan keputusan 3-0.

“Justeru, saya mahu pemain terus bekerja keras dan terus mengutip mata untuk melebarkan kedudukan selepas pencabar terdekat (Perak) turut tewas,” katanya kepada pemberita pada sidang media kelmarin.

Sementara itu, ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui pasukannya boleh mengutip sekurang-kurangnya satu mata tetapi kegagalan pemain memberikan tumpuan pada awal perlawanan telah menghukum Tok Gajah.

“Kami memulakan saingan dengan langkah kiri selepas memberi banyak ruang dan peluang buat JDT menguasai perlawanan, sekali gus meledak tiga gol awal.

“Namun, pujian harus diberikan kepada pemain yang cuba untuk bangkit tetapi apakan daya, keputusan kekal sehingga tamat perlawanan dan kami harus bersedia untuk aksi sete­rusnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI